RANGEL tamat penggantungan tiga bulan 19 September lalu.
RANGEL tamat penggantungan tiga bulan 19 September lalu.
Oleh Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu mengharapkan kehadiran semula penyerang import Paulo Rangel akan memberi nafas baru untuk mereka mengharungi baki saingan Piala Malaysia.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, kehadiran Rangel bakal memantapkan lagi skuad Peteh terutama menjelang pertemuan dengan LionsXII di Stadium Jalan Besar, Sabtu ini.

“Kami kehilangan Mat Yo (Nor Shahrul Idlan Talaha) kerana menerima kad merah ketika pertemuan dengan Kedah dan saya harap dengan kehadiran semula Rangel kami mampu menampilkan rentak permainan yang baik.

“Diharapkan pemain juga dapat melakukan kejutan dengan menewaskan LionsXII biarpun beraksi di gelanggang mereka,” katanya.

Rangel penyerang kelahiran Brazil itu digantung tiga bulan bermula 20 Jun lalu, kini boleh beraksi bertemu LionsXII selepas tempoh berkenaan tamat pada 19 September lalu.

Pemain berusia 30 tahun itu dijatuhkan hukuman gantung tiga bulan pertama dan tambahan tiga bulan lagi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas didapati bersalah atas tindakannya ketika separuh akhir kedua Piala FA membabitkan Terengganu menentang LionsXII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 16 Mei lalu.

Ketika itu, penjaring terbanyak Liga Super musim lalu itu didapati bersalah kerana menendang bola ke arah penolong pengadil kedua dan menolak pengadil ketika perlawanan.

Jawatankuasa Tatatertib FAM mendapati Rangel bersalah kerana melanggar ‘Artikel 51 (b) Kod Tatatertib FAM 2015’ dibaca bersama dengan ‘Artikel 18 para 4 Kod Tatatertib FAM 2015’.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Nizam berkata, jika Terengganu gagal mengutip mata dalam pertemuan di Singapura itu, peluang buat mereka untuk berada dalam kelompok dua tempat terbaik kumpulan semakin tipis.

“Sukar untuk kami layak ke suku akhir jika tewas. Justeru, saya menuntut pemain beraksi baik supaya apa yang dihajatkan tercapai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 8:55 AM