Lewandowski meraikan jaringan membenam Wolfsburg 5-1 di Munich. - Pix Reuters

Munich: Robert Lewandowski menyumbat lima gol dalam tempoh sembilan minit membantu Bayern Munich membelasah Wolfsburg 5-1 awal pagi tadi.

Penyerang terbabit menjaringkan semua gol mengikut masa rasmi lapan minit 59 saat selepas masuk sebagai pemain gantian di separuh masa ketika Bayern ketinggalan 1-0 di Allianz Arena.

Wolfsburg mendahului melalui Daniel Caligiuri sebelum Lewandowski mencatat nama rekod Bundesliga meledak hatrik terpantas dalam tempoh tiga minit 19 saat.

"Saya tidak tahu betapa pantas hatrik saya lakukan mungkin lima minit?" katanya kepada German Sky selepas diberitahu tempoh masa jaringan pada perlawanan itu.

"Okay, ia lebih pantas daripada itu."

Dia sebelum ini menjaringkan empat gol memastikan bekas kelabnya Borussia Dortmund menang 4-1 ke atas Real Madrid pada separuh akhir Liga Juara Juara 2013. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 1:38 PM