PETIKAN video perlumbaan haram yang viral. Ihsan pembaca
PETIKAN video perlumbaan haram yang viral. Ihsan pembaca
Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Polis mencari tiga mat rempit yang terbabit dalam lumba haram di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) semalam bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dalam kejadian itu lima mat rempit dipercayai berlumba sebelum terbabit kemalangan dengan kereta.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan mat rempit terbabit terjatuh dan dua daripada mereka cedera.

"Dua daripada mat rempit itu dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) yang mana seorang patah kaki manakala seorang lagi sudah keluar semalam.

"Polis akan mengambil keterangan daripada mereka untuk mengesan tiga lagi mat rempit yang terbabit dalam kejadian itu," katanya di sini, hari ini.

Video dan gambar yang memaparkan beberapa mat rempit terjatuh beramai-ramai dalam perlumbaan haram di KESAS pagi semalam menjadi viral.

Bagaimanapun, Shafien menafikan ada kematian dalam kemalangan itu seperti mana yang tersebar.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit sudah membuat laporan di Balai Polis Trafik Klang Selatan petang semalam.

Beliau berkata, tiada laporan diterima setakat ini daripada mangsa.

Sehubungan itu katanya, polis turut mengunjungi klinik swasta di sekitar daerah ini untuk mengesan mereka yang mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 2:10 PM