Pelbagai jenis balak dan saiz dirampas dari sebuah tongkang di Sibu, Sarawak, pada 17 September lalu. - Gambar fail Ihsan POLIS MARIN

Kuching: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima merampas 439 batang kayu balak bernilai RM9,300 dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Sungai Lengan-Stubah dekat Sibu, tengah hari semalam.

Komander PPM Wilayah Lima ACP N Kalai Chelvan berkata rampasan mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak itu dilakukan oleh lima anggota PPM Bahagian Sibu

hasil maklumat orang awam.

"Dalam Op Landai kira-kira 1.15 tengah hari semalam, bertindak hasil maklumat awam, sepasukan lima anggota PPM Bahagian Sibu bergerak ke lokasi menggunakan kenderaan Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

"Hasil pemeriksaan menemui empat longgokan kayu pelbagai saiz dan jenis yang telah siap dipotong berjumlah 439 batang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kalai Chelvan berkata siasatan mendapati kayu balak berkenaan disyaki diperoleh secara tidak sah dan kesalahan mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak 2015.

Berikutan itu, beliau berkata pihaknya merampas 439 kayu balak dan satu laporan dibuat di Balai Polis Sungai Merah di Sibu.

"Kes itu diserah kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perhutanan Sarawak Bahagian Sibu untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya. -- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 7:45 PM