DETIK tegang di antara Eva dan Mourinho yang menjadi punca 'kehilangan' doktor berkenaan.
SENTIASA menjaga kebajikan pemain.

Chelsea dan Dr Eva Carneiro (gambar) sudah berpatah arang dan kelab itu sedia untuk berdepan pertarungan berprofil tinggi di mahkamah.

Berita itu disambut dengan kritikan dalam kalangan lembaga Persatuan Bolasepak Inggeris (FA Inggeris) di mana ahli lembaga berkenaan Heather Rabbatts meluahkan rasa ‘sedih dan marah’ berikutan pemergian Dr Eva.

Bekas doktor pasukan utama Chelsea itu diarahkan kembali bekerja Jumaat lalu dan sepatutnya tampil di pusat latihan Cobham selepas bertelagah dengan pengurus Jose Mourinho ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Swansea 8 Ogos lalu.

Namun Eva tidak menunjukkan mukanya dan menurut sumber dalaman kelab beliau tiada di sana. Apa yang pasti beliau sudah meninggalkan kelab.

Heather yang mempertahankan tindakan doktor berkenaan berkata: “Jika disebabkan perkara lain, dia mungkin dikatakan mengabaikan tugasnya dan melanggar garis panduan Majlis Perubatan Am.

“Dia menjadi mangsa cercaan dan kritikan secara terbuka dan kemudian disingkirkan daripada tugasnya.

“Eva antara segelintir wanita senior dalam sukan ini dan beliau seorang doktor yang bertugas dengan integriti profesional biarpun dalam keadaan sukar dan kemahirannya mendapat pujian rakan sekerja, kelab dan badan induk.”

Chelsea mungkin berpendapat keengganan Eva kembali bekerja akan melemahkan hujahnya untuk meninggalkan kelab. Jika beliau hadir di Cobham sekalipun beliau mungkin terpaksa menerima syarat baru dalam tugasnya selepas dilucutkan daripada tugas mengendalikan pasukan utama secara terbuka.

Chelsea turut menyedari ahli perubatan kelahiran Gibraltar itu mungkin berunding dengan peguam hebat untuk mengendalikan kesnya.

Eva dilarang daripada berada di bangku pemain dan hotel pasukan selepas Mourinho secara terbuka menuduhnya melakukan kesilapan ketika beliau dan rakan fisioterapi Jon Fearn meluru ke padang untuk merawat Eden Hazard, selepas dua kali dilambai pengadil Michael Oliver.

Kemarahan Mourinho ketika itu kini disiasat FA selepas orang ramai membuat aduan mendakwa pengurus kelahiran Portugal menjeritkan kata-kata lucah dan jika berjaya dibuktikan, Mourinho mungkin digantung sehingga lima perlawanan.

Pegawai FA kelmarin berkata bukti video yang dihantar sebagai sebahagian daripada aduan itu masih diteliti.

Tuduhan Mourinho bahawa kakitangan perubatanya tidak memahami perlawanan disanggah rakan seperjuangan Eva.

Ketua pegawai perubatan FIFA adalah antara yang meningatkan Mourinho bahawa kebajikan pemain adalah tanggungjawab kakitangan perubatan, bukannya pengurus.

Malah kenyataan bersama daripada British Association of Sport and Exercise Medicine dan 500 kakitangan Faculty of Sport and Exercise Medicine sudah pun dihantar ke Persatuan Pengurus-Pengurus Liga.

Pendirian FA bagaimanapun masih belum jelas. Malah belum dapat dipastikan Mourinho akan didakwa di bawah peraturan FA, U3 yang menyatakan bahawa pemain dan pengurus boleh dihukum kerana menggunakan ‘bahasa dan tindakan yang kasar, memalukan dan menghina’.

Dalam kes ini yang membabitkan penghinaan jantina, penggantungan lima perlawanan dianggap hukuman paling minima.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 5:06 AM