Abdul Azeez (dua kanan) bersama Dr Mansor (tiga kanan) dan Mahadzir (kanan) menunjukan gambar ketika pengurusan jenazah Abdul Habib kepada Robiah, semalam.
Oleh Norjuliana Yaacob
am@hmetro.com.my

Sik: Tabung Haji (TH) menyerahkan sumbangan RM40,000 kepada ahli keluarga Abdul Habib Lahman 68, jemaah haji yang terkorban dalam insiden kren tumbang di Makkah pada 11 September lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, sumbangan itu bagi meringankan beban ditanggung mereka sementara bantuan lain menyusul.

“Pihak TH menyokong dan memberikan bantuan diperlukan keluarga mangsa.

“Saya berharap mereka bersabar dengan ujian yang menimpa,” katanya ketika mengunjungi keluarga itu di kediaman mereka di Kampung Batu Besar, di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri Mahadzir Abdul Hamid dan Ahli Parlimen Sik Dr Mansor Abdul Rahman.

Abdul Azeez berkata, beliau simpati dengan mangsa yang terbabit dengan tragedi runtuhan itu.

“Saya meminta mereka tidak gusar keselamatan ahli keluarga yang meneruskan ibadat haji kerana TH akan menjaga jemaah sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, suasana sedih dan pilu masih menyelubungi keluarga Abdul Habib yang menerima kunjungan TH dan bersyukur menerima sumbangan itu.

Isterinya, Robiah Abdullah, 65, berkata, dia berasa arwah suaminya masih berada di Makkah untuk menunaikan haji.

“Sehingga saat ini saya dapat rasakan suami saya masih ada di sisi dan mengerjakan ibadat haji.

“Walaupun arwah pergi selama-lamanya, namun kenangan menghantarnya berangkat ke Makkah masih segar dalam ingatan,” katanya.

Dia gembira diberitahu anaknya, Fadzil Abdul Habib, 37, yang suaminya sempat membantu rakan jemaah sebelum menemui ajal akibat runtuhan kren.

“Saya menerima takdir ini dengan hati tenang kerana Allah lebih sayangkan suami dan menjemputnya ketika dia menunaikan ibadat haji yang mulia,” katanya.

Anak keduanya, Hasnah Abdul Habib, 44, berkata, mereka tidak melakukan persediaan menyambut Aidiladha.

Menurutnya, mereka masih terasa kehilangan bapa apatah lagi di saat seluruh umat Islam menyambut Aidiladha.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 6:08 AM