BERNAMA

Kuala Lumpur: Empat pemain diberikan tiket wild card ke undian utama kejohanan tenis Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil bermula esok hingga 4 Oktober ini.

Mereka adalah pemain nombor 18 dunia, Ivo Karlovic dari Croatia, bekas pemain nombor sembilan dunia Nicolas Almagro (Sepanyol), pemain meningkat naik berusia 20 tahun dari India, Ramkumar Ramanathan serta pasangan beregu Nick Kyrgios/James Frawley.

Pengarah kejohanan Nick Freyer dalam satu kenyataan dikeluarkan penganjur IMG berkata, empat pemain Malaysia termasuk pendatang baru, Christian Oliver Lee turut diberikan tiket wild card untuk pusingan kelayakan acara perseorangan.

Tiga pemain lain adalah Syed Mohd Agil Syed Naguib, Ahmad Deedat Abdul Razak dan Mohd Ashaari Zainal Abidin yang pernah beraksi di kejohanan ini. Syed Mohd Agil turut berganding dengan Mohd Assri Merzuki di undian utama acara beregu.

Pada masa sama, Freyer juga mengumumkan pemain nombor 11 dunia, Richard Gasquet dari Perancis menarik diri kerana kecederaan.

“Kami menghormati keputusan Richard untuk tidak beraksi dan pada masa sama mengalu-alukan ‘Raja Servis’ Ivo Karlovic yang akan tampil di kejohanan ini untuk kali pertama,” katanya.

“Ivo lawan yang kurang gemar dihadapi pemain lain terutama ketika dia sedang melalui tahun terbaiknya dalam jelajah dunia. Nasihat saya kepada peminat yang menyaksikannya bermain, jangan pejamkan mata ketika Ivo melakukan servis kerana anda mungkin terlepas jika berbuat demikian.

“Kami juga mengalu-alukan penerima wild card kedua dan pemain pernah berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, Nicolas yang kembali menunjukkan aksi hebat selepas pulih daripada kecederaan serta Ramkumar yang sedang membina kerjayanya,” kata Freyer.

Sebelum ini, beberapa pemain utama mengesahkan penyertaan mereka di kejohanan yang menawarkan hadiah lebih daripada AS$1 juta (RM4.4 juta) seperti pemain nombor tujuh dunia, David Ferrer dari Sepanyol dan juara 2013, Joao Sousa dari Portugal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 5:18 AM