Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat memeriksa deretan 19 rumah kedai yang musnah terbakar di pekan Damak, Jerantut, pagi tadi, - Foto AMIR HAMZAH NORDIN
Sederet 19 rumah kedai hangus terbakar di pekan Damak, Jerantut, pagi tadi - Foto AMIR HAMZAH NORDIN

Kuantan: Sembilan belas rumah kedai di Pekan Damak, Jerantut dekat sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi, membabitkan kerugian dianggar RM2.3 juta.

Pemangku Ketua Balai Bomba Jerantut, Pegawai Bomba Kanan II, Osman Malek berkata bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku kerana semua 28 penghuni premis itu berjaya menyelamatkan diri ketika api mulai marak pada 3.10 pagi.

"Berdasarkan maklumat saksi, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian atas kedai, yang terletak di bahagian tengah deretan bangunan yang disewakan sebagai asrama pekerja asing, sebelum merebak ke kiri dan kanan," katanya di sini, hari ini.

Antara premis yang terbabit dalam kebakaran itu ialah restoran, bengkel motosikal, kedai runcit, pasar raya mini dan kedai telefon bimbit, tambahnya.

Osman berkata 13 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut dan sebuah dari Jengka, dengan dibantu lapan bomba sukarelawan Damak, berjaya mengawal api dalam tempoh 40 minit.

"Api dipadamkan sepenuhnya pada 8.30 pagi ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:18 PM