Keadaan di laluan masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismaill, Senai , yang kabur akibat jerebu. - Foto NSTP

Johor Baharu: Keadaan jerebu yang tebal memaksa empat syarikat membatalkan 21 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini, awal pagi ini.

Ketua Pegawai Operasi Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd, Noor Safura Suib berkata penerbangan dibatalkan berikutan jarak ketampakan kurang daripada 1,000 meter antara jam 6 hingga 8.30 pagi.

"Kesemua penerbangan itu melibatkan laluan domestik dan antarabangsa dengan penumpang terjejas berjumlah 1,000 orang," katanya hari ini.

Bagaimanapun, Noor Safura berkata lima penerbangan iaitu dua Malindo Air dan masing-masing satu Firefly, AirAsia dan Malaysia Airlines dibenarkan berlepas setelah keadaan beransur pulih pada tengah hari.

"Namun kita tidak pasti sama ada penerbangan yang lain masih dapat diteruskan ataupun sebaliknya, ia bergantung kepada syarikat penerbangan itu

sendiri.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Pasir Gudang mencatat tahap sangat tidak sihat pada jam 9 pagi iaitu 201, namun ia turun kepada 180

pada 3 petang tadi. Keadaan sama turut dialami di kawasan Larkin Lama dengan bacaan IPU 172 dan Kota Tinggi (123) pada jam 3 petang.

--BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 7:38 PM