Rinago atau lingkong dalam bahasa Rungus adalah produk yang dihasilkan daripada bahan utama dipanggil ribu-ribu iaitu sejenis tumbuhan paku-pakis.

Tumbuhan yang berwarna hijau dan kekuningan ini banyak tumbuh menjalar di kawasan belukar.

Proses pembuatan produk kraf ribu-ribu tidak begitu sukar, tapi ia memerlukan ketelitian dan kesungguhan yang tinggi dalam menghasilkan produk menarik dan menepati permintaan pasaran.

Menariknya, proses anyaman dimulakan dengan membelah batang ribu-ribu menggunakan alat yang tajam seperti pisau. Ribu-ribu dipotong dari hujung ke pangkalnya dan dibahagi kepada dua bahagian mengikut ukuran yang diperlukan.

Ia kemudian dijemur di bawah cahaya matahari dalam masa satu jam bagi menghilangkan takungan cecair yang terdapat pada batang pokok itu.

Paling penting batang ribu-ribu yang kering tidak boleh terkena air sebelum digunakan supaya ia tidak rosak dan belahan itu bertukar menjadi hitam.

Selepas kering, ribu-ribu tadi diraut menggunakan alat yang dinamakan jangka untuk membuat ukuran yang diperlukan. Jangka diperbuat daripada penutup tin yang dilubangkan. Bilah ribu-ribu dimasukkan ke dalam lubang itu, ditarik berhati-hati dan terhasillah bilah ribu-ribu yang sama ukurannya.

Proses jalinan pula dimulakan menggunakan sebatang jarum yang berukuran kira-kira dua inci panjang bersama mempulur rotan atau bemban.

Ia dijadikan rangka untuk menjalin atau menganyam ribu-ribu. Jalinan ini dibuat dengan kemas dan teliti hingga terbentuk produk yang diperlukan.

Lebihan ribu-ribu yang tidak diperlukan dipotong menggunakan gunting.

Produk ribu-ribu yang dihasilkan tidak lagi sekadar bekas serba guna, bekas barang kemas atau tepak sirih, tapi juga turut dijadikan pelbagai pelengkap keperluan harian dan hiasan seperti bekas buah, pasu bunga dan bakul.

Harga bagi setiap produk rinago ditentukan berdasarkan saiz dan jenis rekaan dengan anggaran harga antara RM20 hingga RM100. Maklumat lanjut di www.kraftangan.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:01 AM