BANGUNAN Sultan Abdul Samad dilanda jerebu pada sebelah malam. FOTO Asyraf Hamzah
Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kualiti udara di 17 kawasan seluruh negara kembali merosot dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) masing-masing menunjukkan tahap tidak sihat.

Menerusi laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga 10 malam tadi, Sri Aman, Sarawak merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 146 manakala Kuching dan Samarahan, masing-masing 119 serta 108.

Lima kawasan di Selangor turut mengalami bacaan IPU tinggi membabitkan Shah Alam 143, Pelabuhan Kelang (140), Petaling Jaya (137), Banting (132) dan Kuala Selangor (110).

Selain itu, Putrajaya merekodkan bacaan 135 manakala Cheras dan Kuala Lumpur pula ialah 121.

Di pantai timur, bacaan IPU Kemaman, Terengganu mencecah 110 manakala Balok Baru, Kuantan, Pahang pula ialah 111.

Sementara itu, bacaan IPU lima kawasan di selatan yang terjejas pula ialah Seremban (123), Port Dickson (120) dan Nilai, Negeri Sembilan (120) serta Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai, Melaka masing-masing mencecah 136 dan 110.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 11:25 PM