TANGGA sempit digunakan untuk ke puncak.
PENDAKI merakam gambar sekitar lereng gunung.
PESERTA ceria mengibarkan Jalur Gemilang.
Oleh Shukri Samar


Seramai 40 ahli Setapak Daki Adventure menyahut cabaran menaikkan semangat cintakan Malaysia menerusi pendakian Gunung Ledang di Johor. Ada sebahagian peserta memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur seawal jam 5 pagi.

Sementara yang lain dari Negeri Sembilan, Melaka mahupun Johor Bahru menanti di Tangkak sebelum semuanya menuju ke kaki gunung terbabit di daerah Sagil diketuai penyelaras program, Zamry Othman.

“Tambah teruja sepanjang perjalanan dari pekan Tangkak ke kaki Gunung Ledang, kami disajikan dengan pemandangan sungguh mendamaikan. Malah ledakan semangat untuk menawan puncak Ledang semakin membara apabila kami tiba di pekarangan pintu masuk Taman Negara,” kata Zamry.

Selepas menyelesaikan urusan permit untuk memasuki Taman Negara Ledang, semua peserta memulakan misi menawan puncak setinggi 4,187 kaki dari aras laut. Pengalaman peribadi tidak dapat dilupakan ketika misi kali ini ialah terpaksa menggendong seorang pendaki yang mengalami kekejangan kaki ketika kumpulan pendaki menuju ke pusat semak (check point) keenam iaitu Gua Kambing.

Bagi pusat semak keenam ini, Taman Negara Ledang membuat laluan baru untuk ke Batu Hampar. Laluan lama ditutup bagi memastikan keselamatan pendaki lantaran berlaku pergerakan tanah kira-kira dua bulan lalu akibat faktor cuaca.

Kecuraman makin ekstrem hingga pendaki terpaksa menggunakan tangga dan tali untuk memanjat sampai ke Taman Bonsai. Permandangan dari situ lebih menarik kerana Taman Bonsai terletak di lereng Gunung Ledang sebelum sampai ke puncak.

Menurut Pengarah Program, Syazana Aminolah, misi pendakian ini menjurus pada meraikan kemeriahan bulan patriotik yakni Ogos diikuti sambutan Hari Malaysia pada September dengan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Ledang.

“Rasa satu kepuasan apabila misi getir sepanjang 10 jam tercapai dengan kibaran di puncak gunung.

“Meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk dua peserta cedera, ia diteruskan dengan ahli lain untuk melengkapkan cabaran.

“Namun kami tidak mengabaikan langkah keselamatan, malah buat persiapan awal dengan mewajibkan semua peserta melakukan latihan pendakian di bukit lebih rendah seperti Bukit Tabur dan Broga.

“Selain itu kami mendapat kerjasama Taman Negara Ledang apabila empat pegawai renjer mengiringi kami sepanjang pendakian,” katanya.

Dalam ekspedisi itu, pendaki perlu melalui tujuh perhentian. Persinggahan pertama sudah mencabar apabila peserta perlu memanjat 769 anak tangga, tidak hairan ia dipanggil Bukit Semput.

Kemudian peserta melalui stesen kedua ‘Trail Legenda’ dan diikuti perhentian Batu Orkid. Pusat semak itu diberi nama sempena sebongkah batu besar umpama bunga orkid yang boleh dilihat di situ. Menghampiri 12 tengah hari, semua peserta selamat tiba di pusat semak kelima, Sungai Tiga Segi. Kawasan di situ lebih selesa berbanding sebelumnya.

Sementara itu, bagi Alia Dina Abu Bakar, 26, misi menawan puncak Gunung Ledang sungguh mencabar kerana dia diberi tanggungjawab sebagai ‘sweeper’.

“Tanggungjawab ini sangat besar kerana saya bukan sekadar mendaki, malah perlu memerhatikan rakan pendaki lain. Tugas ‘sweeper’ adalah paling penting kerana perlu berada di belakang ahli kumpulan lain.

“Kesabaran sangat penting selain perlu mempunyai ilmu dalam menghadapi pelbagai ragam. Daripada orang muntah, sakit pinggang, kejang, terlentang serta mahu putus asa, perlu dipujuk supaya mereka tidak patah semangat.

“Bagi saya pengalaman itu sangat bermakna dan menyeronokkan,” katanya.

Trek yang paling diingati Alia ialah tempat dipanggil KFC (Killing Fitness Climber).

“Paling tidak lupa dalam trek kami lalui ialah ketika dari perhentian kelima menuju ke perhentian keenam, lokasi dipanggil KFC.

“Ini kerana pendaki akan menggunakan akar kayu, batu dan pokok di sekeliling untuk berpaut pada kecuraman hampir 90 darjah (tegak).

“Syukur dalam ekspedisi ini kami selamat dan berjaya sampai serta turun dari puncak dengan selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:01 AM