KEJAYAAN Dhabitah turut jadi kebanggaan abangnya, Safuan, ibu bapa, Fazidah dan Sabri serta kakaknya, Nur Safura.
KEJAYAAN Dhabitah turut jadi kebanggaan abangnya, Safuan, ibu bapa, Fazidah dan Sabri serta kakaknya, Nur Safura.
Oleh Rodly Fadly

Kuala Lumpur: Keputusan pasangan suami isteri, Sabri Hashim dan Fazidah Jaafar mengubah haluan anak mereka, Nur Dhabitah daripada sukan renang ke sukan terjun, sembilan tahun lalu, ternyata satu langkah yang tepat. Penerjun itu membuktikannya apabila memenangi emas acara 10 meter platform di Kejohanan Terjun Piala Asia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, baru-baru ini.

Ia sekali gus melayakkan Dhabitah, 16, ke Sukan Olimpik 2016, di Rio de Janeiro, Brazil, mengiringi tiga lagi penerjun, Pandelela Rinong, Wendy Ng dan Ooi Tze Liang.

Dhabitah, anak bongsu daripada empat adik-beradik mendedahkan, pada awalnya, dia dan abangnya Muhammad Daniel, membabitkan diri dengan sukan renang. Namun, ayah dan ibunya cepat mengesan kelemahan mereka lalu beralih ke sukan terjun.

“Ayah dan ibu memang mengimpikan kami mewakili negara dalam sukan renang tapi dengan fizikal yang kecil dan rendah, mereka melihat ia akan menjadi halangan untuk kami pergi jauh. Oleh itu, mereka cepat-cepat menukarkan kami ke sukan terjun kerana sukan ini lebih menumpukan kepada skil berbanding tenaga.

“Waktu itu, saya baru berusia 7 tahun dan hanya mengikut saja kehendak mereka. Saya sendiri tidak pernah menyimpan cita-cita untuk wakili negara ketika itu. Tapi, apa yang pasti saya memang suka dengan aktiviti dalam air.

“Semasa diperkenalkan pada sukan terjun, pertama kali mencuba, saya berasa sangat seronok. Soal gayat atau takut terjun dari tempat tinggi memang tidak ada dalam diri kerana saya memang seorang yang lasak sejak kecil,” cerita Dhabitah.

Dhabitah berkata, daripada suka-suka, dia mula serius dalam sukan berkenaan bila dipilih mewakili Kuala Lumpur ke Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) serta Sukma dan mencipta kejayaan di peringkat itu. Dia yang bersekolah rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (2) kemudian ditawarkan menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sejak tingkatan satu.

“Saya patut berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa kerana merekalah yang bersungguh-sungguh mahu menjadikan saya atlet negara. Begitu juga dengan adik-beradik saya yang sentiasa memberi sokongan.

“Pasukan kejurulatihan juga banyak membimbing dan memberi galakan. Malah, penerjun senior seperti Pandelala tidak lokek menurunkan ilmu dan motivasi. Dia sentiasa memberi keyakinan bahawa saya boleh melakukannya dan ini menaikkan semangat saya.

“Beraksi di peringkat tertinggi seperti Olimpik memang menjadi impian saya sejak serius dalam sukan ini. Tapi, saya tidak jangka, peluang itu datang secepat ini. Sasaran sebenar saya ialah Olimpik 2020. Malah, acara 10m platform yang membawa saya ke Olimpik, bukanlah acara kegemaran saya berbanding acara 3m papan anjal.

“Saya rasa ini memang rezeki saya kerana jika Lela (Pandelela) belum layak ke Oilimpik ketika itu, sudah pasti tempat tersebut akan diisi oleh dia. Tapi, memandangkan dia sudah layak, jurulatih merehatkan Lela daripada kejohanan ini dan memberi peluang kepada saya,” kata Dhabitah.

Kini, selepas menempah tiket ke Olimpik, Dhabitah berazam tidak akan mensia-siakan peluang keemasan tersebut. Dia bertekad membawa pulang sebutir pingat tidak kira apa warnanya.

“Saya tidak mahu ke Olimpik untuk sekadar mencukupkan kouta. Memandangkan saya sudah sampai ke tahap ini, saya akan melakukan yang terbaik. Untuk itu, buat sementara ini, saya terpaksa mengorbankan pelajaran demi memberi tumpuan penuh kepada latihan,” kata Dhabitah yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun 2016.

“Tahun 2016 merupakan tahun sibuk kepada saya kerana Olimpik dan SPM sama-sama penting. Tapi, saya tidak mampu membahagikan perhatian kepada dua perkara sekali gus. Oleh itu, sebelum Olimpik pada Jun, saya akan lupakan pelajaran dan tumpukan pada latihan.

“Selepas tamat Olimpik, barulah saya akan kembali tumpukan pelajaran bagi menghadapi SPM. Mungkin masanya sangat suntuk tapi saya akan cuba untuk mencapai keputusan yang baik dalam SPM,” ujar Dhabitah.

Inilah pengorbanan yang perlu dilakukan oleh gadis berusia 16 tahun itu, bukan sahaja mengetepikan akademik seketika malah membataskan masanya untuk menonton rancangan televisyen kegemarannya, ‘Running Man’ dan program K Pop yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:04 AM