KANAK-KANAK dari Rumah Kebajikan Anbu Illam dan Rumah Kebajikan Karunai Illam dibawa membeli-belah sempena Deepavali.
KANAK-KANAK dari Rumah Kebajikan Anbu Illam dan Rumah Kebajikan Karunai Illam dibawa membeli-belah sempena Deepavali.

Tangan yang memberi sememangnya lebih baik daripada yang menerima. Namun, tangan yang menerima itu pula tidak ketinggalan memperoleh kegembiraan dan kebahagiaan, sama seperti yang memberinya.

Seperti apa yang dilihat ketika aktiviti kebajikan interaktif Nestle Malaysia (Nestle) bersama kanak-kanak dari Rumah Kebajikan Anbu Illam dan Rumah Kebajikan Karunai Illam, bulan lalu, tiada lebih menggembirakan bagi si kecil itu apabila diberi perhatian seperti insan lain.

Benar, bantuan kebajikan bukan sekadar dalam bentuk wang ringgit dan material. Bantuan yang dihulurkan juga perlulah seiring dengan apa yang diperlukan si penerima.

Justeru, Nestle berusaha merealisasikan impian kanak-kanak ini bagi menjalani kehidupan seperti rakan sebaya normal dengan berpeluang membeli-belah dan memilih sendiri barangan diperlukan.

Aktiviti itu diadakan sempena meraikan sambutan Deepavali baru-baru ini yang menyaksikan 32 kanak-kanak dari rumah kebajikan terbabit dibawa menikmati ke­gembiraan membeli-belah di AEON AU2 Setiawangsa.

Aktiviti ini sebahagian daripada Program Sukarelawan Kakitangan ­'Reaching Out to Community and Kids' atau lebih dikenali sebagai Nestle ROCKS.

Kanak-kanak berusia lapan hingga 17 tahun itu nyata teruja diberi peluang memilih barangan yang diingini sambil menjalin hubu­ngan akrab dengan kumpulan sukarelawan.

Bagi memastikan mereka mendapat perhatian sepenuh­nya, setiap kanak-kanak diiringi seorang sukarelawan, digelar 'ROCKers' yang membantu mereka memilih barangan sesuai.

Apa yang pasti, bahagian pakaian menjadi tumpuan dengan pelbagai pilihan kemeja, kemeja-T dan seluar, selain ruang aksesori seperti kasut juga beg.

Usai membeli-belah, kanak-kanak ini dibawa pula menikmati hidangan tengah hari di restoran Pizza Hut.

Sekali lagi aktiviti ini digunakan sepenuhnya oleh sukarelawan untuk menyelami kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik ini, di samping berkongsi pel­bagai cerita sesama mereka.

Aktiviti kemudian tambah menarik dengan acara memotong kek oleh salah seorang daripada kanak-kanak terbabit, Navitha Pusbanathan yang menyambut ulang tahun kelahirannya pada hari itu.

"Kami tersentuh apabila melihat keseronokan pada wajah kanak-kanak ini. Selaras dengan falsafah Nestle untuk 'Menjana Nilai Bersama' yang menjadi sebahagian penting daripada cara Nestle menjalankan perniagaannya, kami berpegang kuat kepada prinsip me­nyumbang kepada masyarakat.

"Ditambah pula dengan berlangsungnya musim perayaan seperti Deepavali ini, kami rasakan perlunya membawa keceriaan musim perayaan itu kepada golo­ngan kurang bernasib baik.

"Dengan bantuan dan aktiviti seperti ini, kami harap kanak-kanak terbabit seronok meraikan Deepavali tahun ini," ujar Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle Malaysia, Zainun Nur Abdul Rauf.

Menurut Presiden Persatuan Saiva Siddhanta Malaysia, M Tarmothran, per­tubuhan amal yang me­nguruskan dua rumah kebajikan itu menyifatkan aktiviti kebajikan seperti ini bukan saja dapat membantu meringankan bebanan mereka malah mengurangkan kesedihan anak-anak kecil itu kala meraikan Deepavali.

"Kanak-kanak ini sa­ngat gembira kerana diberi perhatian oleh sukarelawan Nestle dan mereka seronok dapat membeli barangan diingini.

"Hadiah daripada Nestle ini nyata menggembirakan hati kanak-kanak dan menjadikan musim perayaan Deepavali mereka lebih meriah serta menyeronokkan," katanya.

Aza Baizura Morni yang mengetuai aktiviti ROCKS itu, berasakan ia bukan sekadar aktiviti tanggung­jawab sosial oleh Nestle, namun lebih kepada pe­ngisian rohani dalam kalangan sukarelawannya.

"Tugas menyelaras dan mengetuai projek Deepavali ini satu pengalaman yang memberi kepuasan kepada sukarelawan, bukan saja sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk menghulurkan tangan kepada masyarakat, malah dapat meluangkan masa bersama kanak-kanak ini dan berkenalan dengan mereka.

"Saya berharap agar mendapat lebih banyak peluang seperti ini pada masa depan," katanya.

Program Sukarelawan Kakitangan ROCKS Nestle Malaysia bertujuan menceriakan kehidupan golongan kurang bernasib baik dalam masyarakat.

Program ini menyediakan peluang untuk warga Nestle Malaysia membabitkan diri mereka dalam program inisiatif kemasyarakatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:01 AM