Zulkifly disahkan terkorban dalam tragedi rempuhan Mina, Khamis lalu.
Daripada Noor Azam Abd Aziz di Makkah

Makkah: Khabar duka buat kita semua apabila Tabung Haji (TH) sebentar tadi mengesahkan seorang jemaah haji di bawah kelolaannya meninggal dunia dalam insiden rempuhan di Mina, Khamis lalu selepas dipercayai tersasar ke kawasan kejadian.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jemaah haji terbabit ialah Zulkifly Samad berusia 50 tahun beralamat di Taman Ukay Bistari, Ampang, Selangor dan berasal dari Johor.

“TH dalam makluman awal mengesahkan tiada jemaah haji Malaysia yang terbabit dalam tragedi berkenaan berdasarkan pengesahan daripada waris dan maklumat awal daripada penempatan jemaah haji.

“TH juga sudah membuat semakan dan pengumuman melalui siaraya di khemah jemaah pada 12.30 tengah hari sehingga 3 petang (waktu Arab Saudi) pada hari kejadian. Tiada sebarang aduan daripada waris dan rakan satu khemah berkaitan dengan sebarang kehilangan jemaah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada 11 malam (waktu Arab Saudi), Khamis lalu, Suria Hanim Abdul Hamid, isteri Zulkifly membuat laporan bahawa suaminya tidak pulang ke khemah.

“Dalam laporan itu, isterinya mengakui bahawa suaminya tidak bersama dengan Jemaah TH dari Muzdalifah kerana bercadang untuk berjalan kaki mengikut Sunnah Rasulullah ke Mina.

“Menurut Suria Hanim, panggilan terakhir dibuat kepada suaminya adalah pada 7.15 pagi (waktu Arab Saudi), Khamis lalu. Dalam perbualan telefon itu, suaminya memaklumkan dia selamat tiba di Mina dengan jemaah haji negara lain dari Muzdalifah,” katanya.

Katanya, selepas itu, pada 11 malam, TH menerima aduan daripada Suria Hanim mengenai kehilangan suaminya dan petugas haji memulakan usaha mencari jemaah haji itu di sekitar Kompleks Jamarat dan hospital berdekatan di Mina.

“Pada hari ini, 1.30 petang (waktu Arab Saudi) pasukan perubatan Tabung Haji membuat tinjauan di rumah mayat Muasim di mana pasukan perubatan menemui satu jenazah rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam keadaan yang sempurna,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, pasukan perubatan TH membuat pengesahan melalui identifikasi yang ada pada jenazah Zulkifly.

“Di sini pihak TH mengesahkan jenazah berkenaan adalah Zulkifly.

“TH amat berdukacita dengan insiden itu. Kami mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang yang beriman dan para syuhada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 1:04 AM