PELAJAR PTPL didedahkan cara pengurusan profesional dan
Oleh Ruhaiza Rusmin


Industri hospitaliti dan pelancongan antara penyumbang terbesar kepada sektor ekonomi negara selain menyediakan banyak peluang pekerjaan. Bagi memastikan industri ini terus berkembang, lebih ramai tenaga mahir diperlukan bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

Bagi menampung keperluan itu, Kolej PTPL tidak ketinggalan menawarkan pelbagai program pengajian berkaitan bidang hospitaliti menerusi Sekolah Hospitaliti & Seni Kulinari (SCA).

Antara program ditawarkan ialah Diploma Perkhidmatan Makanan & Pengurusan Restoran khusus bagi mereka yang mahu mendalami dan mahir dalam bidang pengurusan makanan dan restoran secara komersial.

Sepanjang pengajian, pelajar didedahkan dengan teori dan praktikal mengenai pengurusan industri perkhidmatan makanan, kemahiran dalam asas makanan dan minuman, perkhidmatan restoran makanan segera serta pengurusan pembekalan makanan.

Program ini menggabungkan pelbagai disiplin termasuk bidang pengurusan restoran, perkhidmatan servis makanan, pemasaran restoran, operasi makanan dan minuman, operasi restoran, pengurusan sistem katering dan sebagainya.

Mereka yang berminat mengikuti pengajian ini perlu memenuhi kelayakan ditetapkan iaitu lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM/SPMV) dengan tiga kepujian dalam mana-mana subjek atau memiliki sijil PTPL, politeknik, universiti awam atau swasta diiktiraf.

Siswazah PTPL berpeluang melakukan pindahan kredit, seterusnya melanjutkan pengajian ke tahun dua peringkat Bacelor di Management & Science University (MSU) di School of Hospitality & Creative Arts (SHCA).

Antara kerjaya profesional boleh diceburi siswazah ialah pengurus restoran, pegawai kualiti makanan di syarikat pembekal makanan, pengurus kafeteria dan pengurus syarikat katering.

Selain itu, ada beberapa lagi program ditawarkan SCA iaitu Diploma Seni Kulinari, Diploma Pengurusan Hotel dan Diploma Pengurusan Pelancongan, Sijil Pengurusan Pelancongan dan Sijil Operasi Hotel & Katering.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:05 AM