FIRMAN bersama Firmanation ketika membuat persembahan di Padang Kawad, UMS.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid


Selepas berjaya menghasilkan single kedua berjudul Paling, Ogos lalu, juara Akademi Fantasia (AF) 2014, Firman terus melangkah apabila bakal melancarkan album sulung berjudul Kau Yang Satu, bulan depan.

Turut dimuatkan dalam album mengandungi enam lagu itu, lagu Di Pintumu yang dinyanyikan Firman pada konsert akhir AF, tahun lalu.

“Saya bersyukur apabila lagu Paling ciptaan Edry Abdul Halim kini mula diputarkan stesen radio di seluruh negara dan menjadi pilihan pendengar,” katanya.

Katanya, lagu Paling juga akan dimuatkan dalam album berkenaan yang bakal dilancarkan pada 1 Oktober depan di Kuala Lumpur.

Lagu lain ialah Kau Yang Satu, Bohong, Engkau Yang Tahu dan Kekasih Hati.

Selain itu, Firman turut merancang melancarkan album itu di Kota Kinabalu, Sabah dan kampung halamannya di Tawau pada masa akan datang.

“Jika ada masa atau keperluan, saya merancang untuk melancarkan album itu di restoran saya yang diusahakan bersama rakan kongsi di Kota Kinabalu,” katanya.

Menurut Firman, antara komposer yang terbabit dalam pembikinan album berkonsep moden rock dan pop balada itu ialah Edry Abdul Halim, Omar K, Alfarabi Band dan Azlan & Typewriter.

Buka restoran

Selain aktif sebagai penyanyi, Firman turut membuka restoran bersama rakan kongsinya di Alamesra dekat Kota Kinabalu, Sabah.

Katanya, restoran berkonsep bistro itu turut menampilkan persembahan beberapa kumpulan pemuzik jalanan sekitar Kota Kinabalu dan akan bertukar setiap bulan.

“Restoran ini dulunya dinamakan Burger Bakar Borneo tetapi dijenamakan semula kepada F&M berkonsepkan makanan dan hiburan selain sesuai untuk semua golongan.

“Ketika ini, sebahagian restoran itu sedang dalam proses pengubahsuaian tetapi sudah dibuka kepada pelanggan,” katanya.

Terdahulu, Firman bersama kumpulannya, Firmanation membuat persembahan di Padang Kawad, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dihadiri lebih 500 penonton, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:13 AM