Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya 300,000 pembayar cukai individu tidak perlu lagi membayarnya bagi tahun taksiran 2015.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ini berikutan kerajaan mengurangkan kadar cukai pendapatan individu antara satu hingga tiga mata peratusan.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan `Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat' di Dewan Rakyat, hari ini,

"Ekonomi Keperluan Rakyat menjadi paksi dan pegangan dalam mendahulukan kepentingan rakyat. Barulah nanti, apabila kita mencapai status negara maju, nikmat kekayaan dan kemakmuran sebenar negara akan melimpah ke kaki-kaki halaman serta mengetuk pintu-pintu rumah setiap rakyat di negara ini, Insya-Allah," katanya.

Najib merujuk kepada kepentingan rakyat bukan sahaja dari segi kos sara hidup, pendapatan isi rumah tetapi juga merangkumi peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan, kualiti hidup, perumahan, latihan, kemahiran, keusahawanan dan keselamatan.

Menurutnya, RM273.9 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2015 yang meliputi RM223.4 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM50.5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Memperjelaskan lagi struktur pencukaian, Najib berkata, golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan juga tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang bakal dilaksanakan April tahun depan tidak membebankan rakyat kerana mereka yang menggunakan petrol RON95, diesel dan LPG bakal menikmati pelepasan cukai itu.

Berbeza dengan tanggapan kononnya CBP akan menyebabkan kenaikan harga semua barang, Bajet 2015 mencadangkan lebih separuh daripada 944 barang dan perkhidmatan diberi penurunan harga sehingga 4.1 peratus apabila cukai itu dilaksanakan.

Antaranya ialah ubat-ubatan, barangan elektrik, produk tekstil, barangan plastik, perabot, lampin bayi dan bahan makanan seperti beras, daging, telur ayam, minyak masak dan sayur-sayuran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Oktober 2014 @ 8:32 PM