Oleh Murni Wan Omar

[email protected]@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memfailkan permohonan habeas corpus (penahanan salah) di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, mencabar penahanannya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana cubaan mensabotaj dan menjejaskan negara.

Permohonan itu difailkan melalui peguamnya, Fahmi Abd Moin pada jam 2 petang tadi.

Dalam notis usul itu, Khairuddin, 53, menamakan Superintendan Habibi Majinji, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Khairuddin memohon perintah notis mengikut Seksyen 4(5) SOSMA bertarikh 24 September 2015 adalah tidak sah dan terbatal.

Beliau mendakwa notis itu tidak mematuhi peruntukan undang-undang SOSMA 2012, penyalahgunaan proses undang-undang serta berniat jahat.

Oleh itu, beliau memohon dibebaskan serta merta daripada tahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 3:48 PM