PUSAT pemindahan di sekolah agama di Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang. FOTO Mary Victoria Dass
Oleh Mary Victoria Dass


Pasir Gudang:Seramai 648 mangsa membabitkan 160 keluarga mangsa banjir kilat dari empat perkampungan masih mendapatkan perlindungan di dua pusat pemindahan di Pasir Gudang.

Seramai 617 penduduk membabitkan 151 keluarga mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan di sekolah agama Cahaya Baru manakala 31 penduduk membabitkan sembilan keluarga di Balai Raya Kampung Bukit Pulai.

Pegawai Daerah Johor Bahru, Ab Wahab Ridwan berkata, air banjir di keempat-empat perkampungan sudah surut pagi tadi.

Menurutnya, atas faktor cuaca tidak menentu mereka dinasihatkan berada di pusat perlindungan hingga petang ini.

"Empat perkampungan terbabit adalah Kampung Sentosa, Kampung Sentosa Damai, Sentosa Barat dan Kampung Bukit Pulai.

"Terdapat beberapa agensi yang mengurus mangsa banjir dan bakal membantu sekiranya mereka dibenarkan pulang ke rumah.

"Ini adalah kali kedua perkampungan di Kampung Sentosa dilanda banjir kilat dan kejadian sebelum ini pada pertengahan Mei lalu," katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 11:41 AM