Bot nelayan asing yang enggan berhenti selepas diarahkan APMM untuk pemeriksaan. - Foto Ihsan APMM
Nelayan asing yang menceroboh perairan Sandakan, Sabah, untuk menangkap ikan secara haram- Foto Ihsan APMM

Sandakan: Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melepaskan tiga das tembakan amaran sebelum menahan sebuah bot nelayan asing yang disyaki menceroboh perairan negara berhampiran Pulau Billean di Beluran, semalam.

Bot nelayan itu ditahan bersama seorang tekong dan 32 awak-awak pada jam 8.50 pagi oleh kapal ronda APMM Daerah Maritim Sandakan.

Ketua Penguatkuasa Maritim DM 17 Kapt Maritim A Razak Abdul Rahman berkata ketika dikesan, bot nelayan itu sedang bersauh dan beberapa awak-awak berada dalam air sedang leka melakukan sesuatu.

Katanya, mereka yang di dalam bot itu menarik sauh dan memecut bot meninggalkan awak-awak yang berada di dalam air untuk melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota penguatkuasa APMM.

"Kapal ronda APMM bertindak pantas mengejar dan mengarahkan bot itu berhenti untuk diperiksa namun tidak diendahkan sebaliknya beberapa kali melanggar kapal ronda APMM sehingga mengalami kerosakan.

“Anggota APMM telah melepaskan tiga das tembakan amaran ke arah laut dan serta-merta bot itu berhenti,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya tekong dan awak-awak yang ditahan berusia 23 hingga 59 tahun, dan kesemuanya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya mereka disyaki menceroboh perairan Malaysia untuk menangkap sotong menggunakan pelampung yang diperbuat daripada buluh. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 5:22 PM