Sebahagian kenderaan yang dirempuh bas persiaran petang tadi. FOTO ihsan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)
Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Bas persiaran yang dipercayai rosak brek ketika menuruni bukit merempuh lapan kenderaan lain termasuk kereta polis yang diletakkan di Taman Cendawan, di Kilometer 0.5 Jalan Genting Highland, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang, pemandu bas berusia 49 tahun itu gagal mengawal bas dipandu sebelum terbabas dan memasuki kawasan parkir pusat penanaman cendawan.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohammad Mansor Mohammad Nor berkata, akibat daripada kejadian terbabit, beberapa kenderaan rosak teruk bagaimanapun pemandu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden berkenaan.

"Siasatan awal mendapati, bas persiaran itu dipercayai mengalami kerosakan brek sebelum hilang kawalan dan merempuh deretan kerata yang diletakkan di parkir kawasan berkenaan.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian tiada pemandu kenderaan dan bas persiaran terbabit juga tiada penumpang," katanya

Katanya, bas dibawa ke cawangan Trafik IPD Bentong untuk pemeriksaan brek oleh PUSPAKOM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 9:24 PM