MARTIAL (dua dari kiri) cepat sesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris.
MARTIAL (dua dari kiri) cepat sesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris.
AFP

Manchester, England: Sebaik kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris, Manchester United bertekad untuk tampil lebih cemerlang dalam kempen Liga Juara-Juara apabila menanti kunjungan Wolfsburg ke Old Trafford awal pagi esok.

Di pentas domestik, United bermula lembap musim ini, namun pembelian Anthony Martial pada hari terakhir perpindahan menaikkan semangat skuad Louis van Gaal yang mencatat empat kemenangan berturut-turut dengan tiga gol masing-masing ke atas Liverpool, Southampton, Ipswich Town (Piala Liga) serta Sunderland.

Kemenangan 3-0 ke atas Sunderland, Sabtu lalu melonjak United ke tangga teratas liga buat kali pertama sejak 2013, namun memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan kekalahan 1-2 kepada PSV Eindhoven, perlawanan yang dicemari insiden dua tulang kaki Luke Shaw patah, memberi tekanan kepada mereka untuk menang kali pertama di laman sendiri.

“Saya fikir dengan perlawanan sebelum ini apabila kami kalah 1-2 kepada PSV, kami sedar perlawanan di tempat sendiri pada Liga Juara-Juara amat penting untuk melepasi peringkat kumpulan,” kata bek tengah United, Chris Smalling.

“Saya harap kami boleh menggembirakan peminat dan meraih mata maksimum.”

Martial, 19, berjaya menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris lebih pantas daripada yang dibayangkan, menjaringkan empat gol dalam lima perlawanan pertama serta mempunyai kepantasan yang mampu mengucar-ngacirkan pertahanan memberi manfaat kepada tiga pemain di belakangnya.

Wayne Rooney dan Memphis Depay menjaringkan gol liga pertama musim ini ke atas Sunderland, Rooney mengakhiri kemarau jaringan selepas 11 perlawanan, manakala Juan Mata yang bebas beraksi di sayap kanan menghasilkan tiga gol dan tiga bantuan jaringan daripada tujuh perlawanan disertainya.

Kecederaan Shaw bagaimanapun memaksa Van Gaal merombak pertahanannya dan dengan Marcos Rojo diketepikan akibat kecederaan hamstring, Matteo Darmian ditukarkan ke posisi bek kiri ketika menentang Sunderland.

“Saya tidak bernasib baik kerana hanya mempunyai satu posisi yang sukar diganti iaitu posisi Luke Shaw,” kata Van Gaal.

“Saya mempunyai pengganti kerana saya mempunyai Daley Blind (yang beraksi di bek tengah) dan saya juga mempunyai Rojo. Namun, sekarang siapa yang cedera? Rojo!”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 5:42 AM