WAN Mohd Fadzmi menerima anugerah yang disampaikan Duta Britain ke Bahrain, Mr Simon Martin.

Kuala Lumpur: Agrobank, yang dimandatkan untuk memperkasakan sektor pertanian, menerima pengiktirafan sebagai Institusi Perbankan Islam Baharu 2015 pada majlis Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) di Manama, Bahrain.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Mohd Fadzmi berkata, pengiktirafan itu dilihat sebagai bukti di atas usaha Agrobank dalam mempromosikan sistem perbankan patuh Syariah, sekali gus menyokong usaha Malaysia menjadi hab kewangan Islam.

Beliau berkata, Agrobank secara rasmi bergelar Perbankan Islam sepenuhnya pada 1 Julai lalu dan mengalihkan semua sistem perbankan, operasi, dokumentasi dan produk kepada patuh Syariah.

“Agrobank berbesar hati diiktiraf GIFA yang menghargai usaha serta peranan pemain industri kewangan global dan sektor makanan berkait rapat dengan pertanian dan produk halal, perkara yang dititikberatkan umat Islam.

“Dengan peralihan kepada institusi kewangan Islam, Agrobank berada pada kedudukan tepat untuk menyediakan produk pembiayaan patuh syariah untuk melengkapkan kitaran pengeluaran makanan halal,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Menurutnya, setakat Julai lalu, syer pasaran Agrobank dalam pembiayaan sektor agro makanan memberangsangkan iaitu berjumlah RM2,674.42 juta atau 23.73 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan sistem perbankan bernilai RM11,270.52 juta.

“Kami yakin dengan menawarkan pembiayaan patuh syariah, ia akan memberikan lebih keyakinan kepada usahawan, pengeluar makanan dan pelanggan untuk terus komited menjalankan perniagaan mengikut prinsip syariah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 6:07 AM