Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kelana Jaya

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) dan Koperasi Pengerang Kota Tinggi Bhd (Kopeti) bakal memulakan fasa pertama bagi projek pembangunan Coop City Bandar Penawar membabitkan unit kediaman, kedai kos sederhana dan kedai pejabat menjelang awal tahun depan.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya kini dalam proses memohon Kebenaran Merancang daripada Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) untuk memulakan projek pembinaan terbabit dan ia dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan akan datang.

“Kami yakin fasa pertama projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM300 juta ini akan siap dalam tempoh tiga tahun manakala pembangunan keseluruhan projek akan dilengkapkan dalam jangka masa lima tahun akan datang,” katanya pada majlis memeterai perjanjian antara Angkasa dan Kopeti di sini, semalam.

Majlis terbabit mengesahkan kedua-dua pihak selaku pengurus bersama dalam pembinaan Coop City Bandar Penawar dengan dokumen perjanjian ditandatangani Angkasa yang diwakili Abdul Fattah manakala, Kopeti diwakili Pengerusinya, Tahir Aris.

Coop City Bandar Penawar dibangunkan dengan anggaran GDV mencecah RM500 juta di Bandar Penawar, Pengerang, ia bakal mencipta sejarah sebagai bandar koperasi pertama di Asia dan negara dengan keluasan 29.13 hektar.

Pembangunan bandar itu menggunakan konsep sama seperti pembinaan bandar koperasi pertama dan terbesar di dunia dengan keluasan 82.96 hektar terletak di Bronx, New York, Amerika Syarikat.

Beliau berkata, fasa pertama projek itu bakal menawarkan 1,058 unit kediaman dengan anggaran harga rumah teres (RM300,000), pangsapuri (RM250,000) dan rumah mampu milik Johor (bawah RM150,000) di samping 24 unit kedai pejabat dua dan tiga tingkat serta 18 unit kedai kos sederhana.

Menurutnya, fasa kedua pula bakal dimulakan pada 2018 merangkumi pembinaan plot perniagaan seperti pasar raya, lot kedai dan gerai, pusat rekreasi, pusat konvensyen, pejabat, hotel dan lain-lain di kawasan seluas 2.02 hektar dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun selepas itu.

“Semua unit hartanah ini nanti bakal ditawarkan kepada ahli Kopeti dan ahli koperasi yang bernaung di bawah Angkasa dan ini adalah antara usaha kami membantu orang ramai terutama kaum Melayu untuk meningkatkan kadar pemilikan aset dan perniagaan Bumiputera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:05 AM