Ospina gagal menafikan gol kemenangan Olympiakos dilakukan oleh Finnbogason. - Pix Reuters
Ospina gagal menafikan gol kemenangan Olympiakos dilakukan oleh Finnbogason. - Pix Reuters

London: Harapan Arsenal melepasi saingan kumpulan Liga Juara Juara musim ke-16 berturut turut menerima tamparan hebat apabila kecundang 3-2 kepada pasukan pelawat Olympiakos Piraeus awal pagi tadi.

Ia kekalahan kedua perlawanan Gunners pada permulaan kempen selepas tewas 2-1 di Dinamo Zagreb dua minggu lalu.

Kesilapan dilakukan penjaga gol kedua Arsenal David Ospina membantu Olympiakos menang di Stadium Emirates.

Felipe Pardo membuka jaringan sebelum Theo Walcott menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun jaringan sendiri Ospina diikuti gol penyamaan Alexis Sanchez tidak bertahan lama apabila pemain gantian Alfred Finnbogason meledak gol kemenangan kelab Greece itu.

Keputusan meletakkan skuad Arsene Wenger menghuni tangga tercorot Kumpulan F tercicir enam mata di belakang pendahulu Bayern Munich.

Olympiakos tewas semua 12 perlawanan di England sejak 1965 berkongsi tiga mata bersama Dinamo yang dibelasah 5-0 di Bayern iaitu gergasi Jerman bakal dihadapi Arsenal dua kali selepas ini.

"Peluang melayakkan diri masih ada tetapi sukar menerima kekalahan seperti itu," kata Wenger.

Satu lagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea juga tewas 2-1 di Porto.

Kepulangan Jose Mourinho ke kelab Portugal dibimbing meraih gelaran juara pada 2004 terbukti bukan sesuatu menggembirakannya.

Jaringan pembukaan Andre Andre pada babak pertama pantas dipadam oleh sepakan percuma Willian tetapi tandukan kemenangan Maicon m-52 memisahkan dua pasukan itu dalam pertembungan Kumpulan G. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 12:26 PM