LEBUHRAYA Kemuning Shah Alam kelihatan kabur ekoran cuaca berjerebu sekitar 8 pagi. Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan 103 iaitu pada paras tidak sihat. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat

PUTRAJAYA: Keadaan jerebu rentas sempadan dari Sumatera dan Kalimantan, Indonesia yang dialami Malaysia sekarang dijangka berkurangan apabila negara diramal menerima tiupan angin dari arah Timur mulai awal Oktober ini.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar hari ini, keadaan itu akan menyebabkan kebanyakan kawasan di Pantai Barat Semenanjung dan bahagian Barat Sarawak menerima hujan pada waktu petang dan senja.

"Keadaan ini diharap dapat mengurangkan keadaan jerebu yang dialami sekarang," kata kementerian dalam kenyataan di sini.

Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpangkalan di Singapura, 99 titik panas dikesan di Indonesia pada Selasa dengan masing-masing 50 di Kalimantan dan 49 lagi di Sumatera.

Tiada titik panas dikesan di Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, siasatan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati sehingga 27 September lalu, sebanyak 3,427 kes pembakaran terbuka dikesan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 597 melibatkan kawasan hutan, kawasan pertanian (1,197), kawasan industri (19), kawasan pembinaan (67), tapak pelupusan sampah (94), kawasan belukar (689) dan lain-lain pembakaran terbuka kecil (764).

Bagi tempoh sama, sebanyak 216 kes pembakaran terbuka telah dikenakan tindakan kompaun, 15 kes dikeluarkan Notis Arahan, 41 kes dikeluarkan Surat Arahan manakala 23 kes lagi disediakan kertas siasatan untuk tindakan mahkamah. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 3:51 PM