PROGRAM ‘teaser’ kepada Melodi bersiaran selama 2 minit di TV3 selepas Buletin Utama.
PROGRAM ‘teaser’ kepada Melodi bersiaran selama 2 minit di TV3 selepas Buletin Utama.
Oleh Nor Akmar Samudin

Hampir 30 tahun bersiaran, nama Melodi cukup besar bahkan siarannya sentiasa dinanti penonton TV3 setiap Ahad, jam 12.30 tengah hari.

Bagi mengekalkan kedudukan sebagai program hiburan nombor satu, program MBuzz iaitu ‘teaser’ kepada Melodi yang bersiaran selama dua minit di TV3, setiap Selasa, Rabu dan Khamis, jam 9 malam dan di TV9 pada hari sama (jam 10.30 malam) diwujudkan.

Pihak produksi Melodi bercadang menerbitkan MBuzz beberapa tahun lalu, tetapi menangguhkan hasrat itu berikutan perlu menumpukan perhatian memantapkan pengisian bahan berita.

Pun begitu oleh kerana peminat tegar dunia hiburan boleh mendapatkan maklumat terkini daripada pelbagai medium lain maka produksi Melodi perlu menyiarkan berita yang diperolehi secepat mungkin.

Justeru, MBuzz yang dihoskan bakat baru, Ain Edruce atau pemilik nama sebenar, Nurulain Edruce, 24, akan menyiarkan berita pendek manakala berita penuhnya akan dipaparkan dalam Melodi.

Menurut Ain, MBuzz disiarkan secara langsung dan dalam masa dua minit, tiga berita akan dikongsi dengan penonton.

“MBuzz yang bersiaran sebaik saja selesai Buletin Utama mendapat kelebihan kerana penonton berita akan terus menonton MBuzz. Jika berita hiburan itu menggemparkan, kami akan melaporkan secara penuh, namun untuk mendapatkan keseluruhan ceritanya, penonton tetap kena menonton Melodi.

“Dengan pelbagai medium bersaing menyiarkan berita sensasi dan panas, Melodi mesti bergerak lebih pantas. Melodi masih kekal sebagai program hiburan terunggul cuma ia perlukan pembaharuan dan lebih semasa,” katanya.

Berkongsi pengalaman mengendalikan program itu, Ain bersyukur apabila terpilih kerana ketika menghadiri uji bakat calon lain tidak kurang hebatnya.

“Hanya Tuhan tahu betapa gementarnya saya apatah lagi kemunculan pertama di MBuzz turut disaksikan penerbit Melodi.

“Semua bahan disediakan pasukan Melodi dan selepas lebih sebulan mengendalikan MBuzz, saya lebih yakin dan selesa berada depan kamera. Tiada lagi rasa tertekan atau gemuruh. Sebagai pengacara, saya kena ambil tahu apa yang berlaku di sekeliling saya.

“Awal kemunculan, skrip mesti ada di tangan, tetapi kini tidak lagi, “ katanya.

Anak keempat daripada lima beradik ini adalah lulusan Ijazah Komposisi Muzik Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan boleh mencipta lagu.

Ain pernah menghasilkan lagu raya berjudul Inspirasi Syawal yang disiarkan di saluran Hypp TV.

Sebagai remaja yang mahu mencuba banyak perkara, Ain juga aktif sebagai model dan berhasrat menceburi dunia lakonan.

“Nyanyian tunggulah dulu kerana saya tidak suka melakukan banyak kerja dalam satu masa. Suara saya pun biasa saja, tidaklah merdu. Biarlah saya kembangkan bakat sebagai pencipta lagu terlebih dulu.

“Andai ada tawaran berlakon, saya tidak akan lepaskan peluang itu,” katanya yang mengamalkan gaya hidup sihat termasuk minum teh hijau untuk kekal langsing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 5:40 AM