X
SENJATA yang didakwa pakatan Arab dirampas dari sebuah bot nelayan Iran di Laut Oman, kelmarin.
SENJATA yang didakwa pakatan Arab dirampas dari sebuah bot nelayan Iran di Laut Oman, kelmarin.

Riyadh: Pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi semalam berkata, ia merampas sebuah bot nelayan yang membawa senjata, dipercayai untuk pemberontak Houthi di Yaman.

Menurut kenyataan pakatan itu, bot berkenaan dipintas di Laut Oman kelmarin dan 14 rakyat Iran serta senjata, termasuk peluru antikereta kebal ditemui di dalamnya.

Pakatan itu juga mendakwa, dokumen yang dijumpai menunjukkan bot itu milik seorang rakyat Iran dan memiliki lesen menangkap ikan yang dikeluarkan pihak berkuasa negara itu.

Arab Saudi dan sekutunya berulang kali menuduh Iran membekalkan senjata kepada pemberontak Houthi, kumpulan Syiah yang menguasai sebahagian Yaman, termasuk ibu negaranya, Sanaa.

Bagaimanapun, selepas melancarkan serangan udara dan sekatan di kawasan perairan, mereka belum menemui sebarang bukti.

Pengumuman semalam dibuat ketika hubungan antara Riyadh dengan Teheran berada di tahap terendah terbaru berikuttan perang mulut berhubung tragedi rempuhan ketika ibadah haji di Makkah yang menyebabkan sekurang-kurangnya 239 jemaah Iran terbunuh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:27 AM