AKSI buruk Arsenal mengecewakan Wenger.
AFP

Swansea: Pengurus Arsenal Arsene Wenger terpaksa mengaku kejuaraan Liga Perdana sudah semakin jauh daripada jangkauannya dan beliau memilih Chelsea untuk menakluk musim ini selepas anak buahnya gagal mempertahankan kelebihan satu gol sebelum 1-2 kepada Swansea di tempat lawan, kelmarin.

Kekalahan itu menyebabkan Gunners kini ketinggalan 12 mata di belakang anak buah Jose Mourinho yang kekal sebagai pendahulu ketika saingan baru mencecah 11 aksi.

Walaupun masih berbaki dua pertiga musim dan terdapat 81 untuk direbut, Wenger percaya seteru Arsenal di London itu tidak mampu dihalang mana-mana pasukan.

“Ketika ini Chelsea berada dalam landasan untuk meraih 100 mata semusim,” kata Wenger yang kali terakhir meraih kejuaraan Liga Perdana ketika 2003/04 - salah satu daripada tiga kejuaraan liga yang pernah diraihnya.

“Jika anda melihat jumlah mata yang mereka kumpul hari ini, andai mereka berjaya mempamer aksi serupa, tiada siapa mampu mengatasi mereka, itu sudah pasti,” kata pengurus dari Perancis itu.

“Tiada pasukan dilihat mampu mencabar mereka ketika ini.”

Episod seakan sama berulang ketika gagal mempertahankan kelebihan tiga gol di Anderlecht yang berkesudahan seri 3-3 dalam aksi Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu dan pertahanan rapuh Gunners sekali lagi membawa padah di selatan Wales kelmarin.

Alexis Sanchez memberikan gol pendahuluan untuk Arsenal pada minit ke-63 di Stadium Liberty namun dua jaringan dalam tempoh tiga minit pada hujung perlawanan menerusi Gylfi Sigurdsson dan pemain gantian Bafetimbi Gomis menyebabkan anak buah Wenger pulang dengan tangan kosong.

“Saya fikir ia adalah perlawanan yang kami kuasai ketika kedudukan 1-0,” kata Wenger. “Namun saya merasakan kami membenarkan mereka bangkit dan kami gagal menandingi beberapa cabaran pada bahagian tengah. Anda tidak seharusnya tewas pada bahagian itu.

“Adalah malang apabila kami tewas perlawanan seperti itu namun itulah padahnya kerana kami tidak mantap sehingga saat akhir.

“Kami mempamerkan persembahan baik untuk tempoh 75 minit namun anda perlu bertahan sehingga 90 minit. Ia adalah mengecewakan namun kami perlu menerimanya.

“Pujian kepada Swansea, mereka pasukan yang bagus.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:09 AM