Reuters

Sao Paulo: Keupayaan Nico Rosberg (gambar) mengekalkan pendahuluannya hingga tamat aksi di Brazil awal pagi semalam membuktikan pemandu Jerman itu sudah belajar daripada kesilapan yang dilakukannya di Grand Prix Amerika Syarikat minggu lalu tetapi kejayaannya masih belum mampu mengubat keseluruhan kekecewaannya.

Kemenangan kelima musim ini yang dilakar pemandu Mercedes itu membuatkan dia kini ketinggalan 17 mata di belakang rakan sepasukan Lewis Hamilton sambil berbaki satu perlumbaan tetapi dia tidak dijangka mampu muncul juara keseluruhan kali ini.

Walaupun perlumbaan di Litar Yas Marina di Abu Dhabi nanti menawarkan mata berganda, Rosberg hanya boleh muncul juara andai Hamilton gagal menamatkan perlumbaan di kedudukan sekurang-kurangnya naib juara.

Kedudukan lebih rendah daripada tempat kedua tidak pernah singgah kepada Hamilton sejak kedua-duanya berselisih faham di Belgium, hujung Ogos lalu. Sejak itu, pemandu Britain berkenaan menang lima perlumbaan berturut-turut dan hampir mencatat kejayaan keenam awal pagi kelmarin.

Situasi yang dihadapi Rosberg mungkin berubah andai dia berjaya mengekalkan pendahuluannya di GP Amerika Syarikat minggu lalu sebaliknya dia membenarkan Hamilton memintasnya untuk menang.

“Litar Austin (GP Amerika Syarikat) seolah-olah terlalu sukar untuk saya. Memang penting untuk saya meningkatkan aksi kerana saya gagal melakukan tugas sewajarnya di litar berkenaan,” katanya.

“Hari ini saya berjaya menebus kesilapan itu. Itulah yang membuatkan saya gembira. Saya belajar daripada kesilapan di Austin dan bagi saya, masih belum terlewat untuk membetulkannya.

“Saya sentiasa memastikan terdapat ruang yang menghalang dia memintas saya - tidak seperti di Litar Austin. Saya berjaya kali ini dan itulah seronoknya,” katanya.

Rosberg mampu untuk menduduki petak utama dan menang di Abu Dhabi kerana bukan mudah untuk memintas jentera lain di depan tetapi apa yang menjadi masalahnya ialah bagaimana untuk menghalang Hamilton daripada menduduki tempat kedua.

Justeru, dia mengharapkan Felipe Massa yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga awal pagi kelmarin, boleh menjalankan tanggungjawab mengekang Hamilton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:09 AM