Aminnudin Mohd Yasin (kanan) dan Zuhairul Effendy Zualkafli (kiri) keluar dari Mahkamah Tinggi Kangar bersama peguam mereka selepas dibebaskan daripada tuduhan membunuh PATI warga Bagladesh, tahun lalu. FOTO Eizairi Shamsudin
Oleh Aizat Sharif

Kangar : Dua pegawai Jabatan Imigresen negeri ini terselamat daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Kangar hati ini memutuskan mereka tidak bersalah atas tuduhan membunuh seorang pendatang tanpa izin (PATI) warga Bangladesh, di sini, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar yang membacakan keputusan itu mendapati kedua-dua tertuduh Mohd Aminnudin Mohd Yasin, 33 dan Zuhairul Effendy Zualkafli, 33 tidak bersalah selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Dalam hujahnya, Abu Bakar memberitahu berdasarkan keterangan daripada saksi pendakwaan, tiada keterangan yang menunjukkan bahawa kedua-dua tertuduh memukul si mati ketika berada di pantri pada tarikh dan masa yang dinyatakan.

Pada masa sama, terdapat percanggahan di antara keterangan saksi pendakwaan dan saksi pembelaan yang mana sebilangannya memberitahu bahawa si mati dipukul dengan kayu manakala sebilangan lagi tidak menyatakan tertuduh dipukul dengan kayu.

Tambah Abu Bakar, laporan perubatan menunjukkan sebab kematian si mati pada 4 November 2014 adalah disebabkan kecederaan yang berlaku pada tarikh antara 1 hingga 3 November 2014 dan ia tidak disebabkan perlakuan seperti yang didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh pada 29 Oktober 2014.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Abu Bakar Siddiqe pada jam antara 10 malam hingga 11 malam di bilik pantri Jabatan Imigresen Kangar, di Aras 2 Kompleks Kementerian Dalam Negeri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Rahamatullah Baharudeen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 3:28 PM