SEBAHAGIAN 100 pelajar gembira selepas menyertai Kem Bakat Badminton KBS-Nusa Mahsuri peringkat negeri Pahang di Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin, Rompin.
Oleh Asrol Awang


Rompin: Kehadiran bekas jaguh badminton negara ternyata memberikan pengalaman berharga kepada 100 pelajar sekolah kebangsaan dari seluruh Pahang yang menyertai Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan-Kelab Nusa Mahsuri peringkat Pahang, selama tiga hari berakhir kelmarin.

Mereka adalah Datuk Misbun Sidek, Datuk Seri Jalani Sidek dan Rahman Sidek yang mencurahkan ilmu serta pengalaman di kem itu yang diadakan di Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin dan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain.

Bagi Afiq Azimie Zakaria, 11, dari SK Sungai Isap Murni, Kuantan berkata, kem itu begitu memberikan manfaat kepadanya untuk menjadi seorang pemain profesional pada masa depan kerana bukan saja belajar dari segi teknik, malah mental juga turut diberikan penekanan.

Katanya, kehadiran tiga bekas pemain negara yang mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa memberikan perangsang kepadanya untuk meningkatkan kualiti permainan.

“Saya berterima kasih kepada KBS-Nusa Mahsuri yang menganjurkan kem ini kerana banyak teknik baru dipelajari jika mahu muncul pemain terbaik,” katanya.

Rakannya Mohd Faizuan Mohd Fauzi, 11, berkata banyak pengalaman baru dipelajari termasuk motivasi disampaikan jurulatih jika mahu menjadi seorang pemain yang bagus.

Sementara itu, Mohd Johari berkata, kem itu lebih kepada mencari bakat baru terutama golongan kanak-kanak dan pada masa sama melahirkan pelapis pemain badminton Pahang.

“Kami percaya kem tiga hari itu membantu semua pelajar untuk memanfaatkan segala ilmu diberikan jurulatih yang juga bekas pemain negara.

“Kerajaan Pahang percaya kem ini akan meningkatkan motivasi pelajar supaya lebih bersedia untuk muncul pemain berbakat besar, sekali gus muncul pemain terbaik negara pada masa depan,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:10 AM