Nur Rozi terperosok mengalami kecederaan di bawah van semasa sesi latihan.

Kuala Lumpur: Kemalangan menyebabkan kecederaan parah sehingga koma selama lima hari tidak melunturkan semangat atlet berbasikal pelapis lebuhraya kebangsaan Nur Rozi Yanti Mat Rodzi untuk meneruskan kayuhan.

Nur Rozi, 17, dilanggar oleh van pengiring semasa sesi latihan pada 5 Sept lalu bagaimanapun mempamer sikap juang yang tinggi apabila meletakkan sasaran pingat untuk Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) pada Januari depan.

Beliau melapor diri di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini akan menjalani rawatan rehabilitasi di Institut Sukan Negara (ISN) selama dua bulan sebelum dibenar meneruskan latihan bersama skuad pelapis negara yang lain.

"Pagi tadi saya buat pemeriksaan dengan pegawai perubatan ISN. Kena buat 'dressing' dan rehabilitasi di ISN bermula Isnin ini dan lihat bagaimana keadaan saya nanti. Doktor kata kena periksa balik bahu kanan serta lutut kanan yang masih ketat.

“Saya hanya boleh teruskan latihan selepas mendapat kebenaran daripada pegawai perubatan ISN.

“Buat masa ini keadaan saya baik, cuma rasa sakit sedikit di kaki kanan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di MSN Bukit Jalil di sini, hari ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 8:20 PM