MORATA (atas) menanduk masuk gol pertama Juventus.

Turin, Itali: Alvaro Morata membuka tirai jaringan pada masa kecederaan babak pertama manakala Simone Zaza menyumbat gol sulungnya pada Liga Juara-Juara pada saat akhir apabila Juventus mengatasi Sevilla 2-0 untuk mengungguli Kumpulan D, awal pagi semalam.

Juventus, naib juara musim lalu, menerima kunjungan juara Liga Europa kendalian Unai Emery di Turin dengan hasrat membuktikan prestasi buruk domestik yang menyaksikan mereka merudum ke tangga ke-15 dalam Serie A hanya sesuatu yang bersifat sementara.

Pada akhir pertembungan berat sebelah itu, jelas kemerosotan Sevilla dalam aksi domestik lebih memberi ancaman besar buat mereka musim ini.

Emery cuba bersikap positif di sebalik persembahan buruk pasukannya.

“Juventus naib juara musim lalu dan pasukan dengan pemain berkualiti, jadi kami jangkakan pertemuan ini sukar,” kata Emery.

“Kami masih perlu memperbaiki banyak aspek tapi saya anggap persembahan malam ini positif memandangkan ramai pemain saya cedera.”

Peliknya, Juventus yang menang 2-1 di Manchester City sebelum ini, kini mengungguli kumpulan itu dengan kelebihan dua mata daripada dua aksi Liga Juara-Juara berbanding mata diraih mereka dalam enam perlawanan Serie A.

“Perbezaan besar kerana kami mengumpul enam mata daripada Liga Juara-Juara dan hanya lima dalam Serie A,” ujar jurulatih Juve, Massimiliano Allegri apabila ditanya mengenai keupayaan pasukannya memuncak di Eropah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 7:42 AM