PEMAIN Australia giat berlatih menjelang pertemuan dengan England.
AP

London: Menyingkirkan England daripada Ragbi Piala Dunia bukannya tujuan utama jurulatih Wallabies, Michael Cheika.

Selepas mengumumkan barisan pemain Australia bagi pertemuan genting Kumpulan A esok di Twickenham, Cheika ditanya jika kekalahan tipis kepada England pada final 2003 dan suku akhir 1995 dan 2007 menjadi motivasi tambahan buat Wallabies.

Sesudah kecundang kepada Wales, England mesti menundukkan Australia atau berdepan risiko tersingkir awal daripada kejohanan yang dihoskan mereka.

“Ia bukannya alasan tepat untuk bermain,” kata Cheika. “Jika anda bermain kerana alasan itu, maka anda tidak mempunyai alasan sebenar kenapa anda mahu melakukannya.

“Perkara itu adalah satu pemikiran cetek kerana ia akan lenyap dengan pantas apabila ada 82,000 warga Inggeris menjerit menentang anda di stadium.”

Australia menjuarai Ragbi Piala Dunia ketika dua kali ia diadakan di Britain, mengalahkan England pada final 1991 di Twickenham dan Perancis pada final 1999 di Cardiff dan Cheika berkata, beliau menangani setiap perlawanan bagaikan final.

Wallabies memulakan kempen mereka dengan kemenangan 28-13 ke atas Fiji di Cardiff, lima hari selepas England membuka kempen kejohanan dengan kemenangan mata bonus ke atas Fiji di Twickenham.

Pasukan kedua Australia kemudian membenam Uruguay 65-3 di Birmingham Ahad lalu, sehari selepas England kalah 25-28 kepada Wales.

Seperti dijangka, Cheika kembali kepada barisan 15 pemain daripada perlawanan pertama Australia. Beliau bagaimanapun menangguhkan barisan pemain simpanannya.

Banyak tumpuan diberikan kepada backrow Australia, yang mana Cheika sekali lagi memilih David Pocock di No 8 dan penolong kapten Michael Hooper di openside flank.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 7:46 AM