Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Pelumba trek negara Shah Firdaus Sahrom mahu memperagakan aksi terbaik di Piala Trek Antarabangsa Taiwan bermula hari ini walaupun kejohanan itu lebih kepada saingan pemanas badan.

Pelumba kelahiran Johor itu akan bersaing di kejohanan lebih besar iaitu Siri Pertama Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung pada 30 Oktober hingga 1 November.

“Kejohanan kelas satu ini adalah sesi pemanas badan sebelum ke Piala Dunia Klasik. Jurulatih (John Beasley) mahu saya merasai suasana saingan tahap tertinggi selepas menjalani penggantungan sebelum ini.

“Cabaran sememangnya getir dengan pelumba dari Australia, Jepun, Korea Selatan, China, Hong Kong, India dan Thailand sudah mengesahkan penyertaan,” katanya.

Shah Firdaus cemerlang di Siri Kedua Grand Prix Asia Tenggara apabila meraih emas dalam acara keirin namun kejohanan berkenaan dilihat tidak memberikan cabaran besar buatnya.

“Sekurang-kurangnya saya mahu berada di podium di Taiwan,” katanya yang bersaing dalam acara keirin dan pecut.

Jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang bagaimanapun tidak bersaing dengan beberapa pelumba muda negara seperti Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Khairil Nizam Rasol dihantar sebagai pengganti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 7:52 AM