PEMAIN Kelantan gigih jalani latihan di Stadium Sultan Muhammad IV.
Oleh Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Pemangku ketua jurulatih Kelantan Zahasmi Ismail menuntut pemainnya mempamerkan aksi ‘luar biasa’ ketika menentang Selangor pada saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Menurutnya, pemain The Red Warriors (TRW) perlu mengurangkan kesilapan dan fokus terhadap perlawanan ketika tiket ke suku akhir menjadi buruan.

Bekas pemain Kelantan dan kebangsaan itu berpendapat, peluang mereka untuk melangkah lebih jauh agak cerah jika semua pemain mengikut strategi dirancang.

Zahasmi, 47, berkata, kekalahan di tangan T-Team tidak seharusnya dijadikan ukuran, sebaliknya perlu menjadi pengajaran termasuk tidak memandang mudah lawan.

Katanya, pertemuan dengan skuad kendalian Mehmet Durakovic dianggap sengit kerana Red Giants pasti mahu menebus kekalahan mereka, awal bulan lalu.

Pada pusingan pertama Kelantan menewaskan Selangor 3-0 di Stadium Shah Alam, seri dengan FELDA United, 1-1 sebelum kecundang 1-3 kepada T-Team.

Zahasmi berkata, ketiadaan Mohd Norfarhan Muhammad, Mohd Fitri Omar dan Austin Amutu akibat kecederaan mungkin menjejaskan sedikit perancangannya dalam membentuk formasi kesebelasan utama.

Katanya, Wan Zack Haikal, Ahmad Fakri Saarani, Wan Zaharulnizam termasuk penyerang import, Gilmar De Filho Santos dan Erwin Carillo tetap menjadi taruhan utama Kelantan untuk merobek benteng pertahanan Selangor.

“Saya sudah memperbaiki beberapa kelemahan dalam perlawanan terdahulu dan diharap latihan selama lima hari dapat membantu meningkatkan prestasi pasukan.

“Kami akan berusaha memburu gol awal dalam usaha menyentap semangat lawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 8:08 AM