Mayat awak-awak yang ditemui oleh sekumpulan nelayan dibawa ke jeti Kuala Sungai Udang, Yan dengan menaiki bot JPAM sebelum dibawa ke Hospital Yan untuk dibedah siasat. PIX Ihsan JPAM dan Nur Syazwana Mansor
Oleh Nur Syazwana Mansor

Yan: Selepas tiga hari usaha mencari dan menyelamat dijalankan akhirnya mayat seorang awak-awak yang hilang di perairan antara Pulau Bunting dan Pulau Song-Song pada Rabu lalu berjaya ditemui jam 9 pagi tadi.

Difahamkan, mayat Mohd Khairul Azimi Dillah, 17, ditemui di lokasi yang sama mangsa dipercayai terjatuh oleh sekumpulan nelayan termasuk abang ipar mangsa, Mohd Tamizar Md Husen, 34.

Tamizar berkata, dia bersama kira-kira 20 nelayan lain turun ke laut dengan menaiki bot seawal jam 7 pagi bagi mencari adik iparnya itu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian kami ternampak satu objek seperti tangan manusia lalu mendekatinya dan mendapati ianya adalah mayat adik ipar yang hilang," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan Penolong Penguasa Bomba Mohd Firdaus Bukari ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa berkenaan.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Yan untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 2:44 PM