Suasana ketika beberapa NGO berkumpul untuk menyerahkan memorandum 'Selamatkan Al-Quds' kepada kedutaan AS, petang tadi. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Suasana ketika beberapa NGO berkumpul untuk menyerahkan memorandum 'Selamatkan Al-Quds' kepada kedutaan AS, petang tadi. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Lebih 1,000 orang daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul sebelum berarak untuk menghantar memorandum Selamatkan Al-Quds kepada kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini, petang tadi.

Kumpulan itu yang berkumpul kira-kira jam 2 petang selepas Solat Jumaat berarak dari Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak, ke kedutaan.

Hanya dua individu mewakili kumpulan berkenaan iaitu Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, Mohamad Raimi Ab Rahim dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Azmi Abdul Hamid dibenar memasuki pejabat Kedutaan AS.

Menurut Azmi, memorandum berkenaan diserahkan kepada wakil kedutaan sebagai mewakili semua umat Islam untuk menyatakan kemarahan dan bantahan terhadap tindakan tentera zionis menyerang Masjid Al-Aqsa.

"Memorandumi ini berhubung gesaan kami kepada kerajaan AS untuk mengambil tindakan segera ke atas Israel berhubung peristiwa berlaku di Masjid Al-Aqsa.

"Kami percaya Presiden AS Barrack Obama mempunyai pengaruh luas untuk menghentikan tindakan Israel ke atas rakyat Palestin dan pencabulan Masjid Al-Aqsa oleh polis dan penduduk Israel agar dapat dihentikan serta-merta," katanya.

Perakan berkenaan berlangsung aman dan disemarakkan dengan membawa pelbagai sepanduk menyatakan sokongan kepada Palestin serta mengutuk tindakan pencabulan di masjid berkenaan.

Perhimpunan selesai pada 3.26 petang tanpa sebarang kekecohan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 5:21 PM