Pemandangan di Lebuhraya Utara - Selatan dekat Nilai yang kabur akibat jerebu petang tadi. - Foto HAZREEN MOHAMAD
Pemandangan di Lebuhraya Utara - Selatan dekat Nilai yang kabur akibat jerebu petang tadi. - Foto HAZREEN MOHAMAD

Kuala Lumpur: Nilai di Negeri Sembilan menjadi kawasan terbaru mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat akibat jerebu dengan bacaan 101 setakat 9 malam tadi, berbanding bacaan 91 pada 2 petang.

Menurut portal Jabatan Meteorologi Malaysia malam ini, tiga kawasan lain yang masih merekodkan IPU tidak sihat ialah Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai di Melaka dengan bacaan 101 dan Seremban, Negeri Sembilan dengan bacaan 110.

Port Dickson merekod bacaan IPU sederhana iaitu 96 berbanding bacaan IPU tidak sihat 103 petang tadi.

Sementara itu, sebanyak 32 kawasan lain di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sederhana manakala 14 lagi merekodkan bacaan IPU baik.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 11:48 PM