Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: “Apa FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sudah buat? Malu rasanya rakyat negara ini,” kata pengkritik sukan tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim ketika mengulas kedudukan terbaru ranking bola sepak negara.

Menerusi kedudukan terkini kelmarin, Malaysia jatuh dua anak tangga untuk menduduki tempat ke-171 dunia sekali gus menyaksikan pencapaian paling buruk Harimau Malaya sejak sistem ranking itu diperkenalkan FIFA pada 1993.

Menurut Kay Kim, 78, kesemua individu yang terbabit dalam urusan tadbir urus persatuan itu harus bertanggungjawab.

“Malah kerajaan juga bersalah kerana tidak serius membantu meningkatkan kualiti bola sepak negara.

“Keputusan ranking ini amat memalukan dan berdasarkan graf, jelas bola sepak kita makin tenat dan uzur. Mereka (FAM) mesti bertanggungjawab dan tukar sistem pentadbiran segera selain menjalinkan kerjasama erat dengan pihak kerajaan.

“Saya faham pihak kerajaan tidak boleh masuk campur hal ehwal bola sepak yang tertakluk kepada peraturan FIFA, tapi itu lebih kepada pengurusan persatuan di samping perjalanan liga dan pasukan negara.

“Sebaliknya apa yang boleh dibantu adalah merancakkan kejohanan di peringkat bawahan, maksud saya akar umbi. Sepatutnya perkara ini dilakukan 10 atau 15 tahun lalu, namun pihak pemerintah dan FAM tidak sehaluan dan akibatnya bola sepak negara terus ketinggalan,” katanya, semalam.

Menerusi laporan akhbar ini semalam, kekalahan 0-10 di tangan Emiriah Arab Bersatu pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada 3 September lalu, antara penyebab kedudukan Harimau Malaya terus menjunam biarpun sebelum itu berada di tangga ke-169.

Namun, skuad negara dilihat berpeluang mencuci aib dengan menjadikan dua perlawanan antarabangsa bulan ini sebagai landasan untuk memperbaiki ranking. 

Skuad kendalian jurulatih sementara Datuk Ong Kim Swee bakal berdepan Laos dalam aksi persahabatan kelas ‘A’ di Stadium Thai Army, Bangkok, Thailand pada 8 Oktober sebelum menentang Timor Leste di Dili lima hari kemudian untuk perlawanan kelima Kumpulan A, Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.

Pakar sejarah negara itu berkata, usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mewujudkan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) tahun lalu antara langkah terbaik bagi melahirkan lebih ramai bakat baru.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan sekiranya segala usaha itu terhenti di tengah jalan andai Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpindah portfolio yang akhirnya boleh mengundang kepada kegagalan program.

“Sebelum ini sudah ada banyak program seperti Tunas Cemerlang tetapi ia tidak berfungsi sebaiknya. Saya harap PPBN kali ini lebih baik agar kesinambungan melahirkan bakat baru terus kekal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 4:44 AM