FAKRI (kiri) dikekang pemain Selangor.
Oleh Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Selangor menarik nafas lega apabila melakarkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan dalam saingan kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, di sini, malam tadi.

Keadaan kelam kabut di depan pintu gol Kelantan menyaksikan bola sepakan Mohd Nazmi Faiz Mansor terkena pemain pertahanan tuan rumah Mohd Noor Hazrul Mustapha sebelum melantun ke gawang sendiri pada minit ke-19 bagi membolehkan pasukan pelawat memperoleh gol tunggal perlawanan.

Terkejut dengan jaringan itu, pemain Kelantan diketuai import mereka Gilmar Da Santos Filho mulai mengatur serangan ke kubu lawan, namun tidak berhasil apabila mudah dipatahkan benteng pertahanan Selangor dikemudi kapten Mohd Shahrom Kalam.

Walaupun mendahului Kelantan pada separuh pertama, Selangor terus agresif bagi mencari tambahan gol sehingga pengadil perlawanan, Mohd Zamzaidi Katimin terpaksa menenangkan keadaan.

Kelantan hampir memperoleh gol penyamaan melalui sepakan percuma Mohd Noor Hazrul pada minit ke-40 tetapi ketangkasan penjaga gol Selangor Norazlan Razali menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Sebaik babak masa separuh kedua bermula, perlawanan bertambah rancak apabila kedua-dua pasukan saling menyerang, namun Red Giants dalam usahanya memburu Misi 33, lebih menguasai permainan.

Ketumpulan bahagian serangan menyebabkan jentera The Red Warriors gagal menembusi pertahanan Selangor sekalipun dua pemain lincah mereka Wan Zaharulnizam Zakaria dan Wan Zack Haikal Wan Noor sering mengucar-kacirkan lawan.

Norazlan dianggap watak penting pasukan Selangor apabila menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya termasuk sepakan percuma luar kotak penalti kapten Kelantan Mohd Badri Radzi pada minit ke-67 dan Wan Zack Haikal (m-75).

Kemasukan pemain import, Erwin Carillo menggantikan Wan Zaharulnizam gagal mengubah nasib Kelantan apabila skuad kendalian Zahasmi Ismail itu masih buntu untuk menjaringkan gol.

Ternyata 20 minit terakhir perlawanan, Kelantan tampak tertekan mencari gol penyamaan apabila lebih kerap mengatur serangan bertali arus ke kubu Selangor.

Tambahan masa lima minit gagal dimanfaatkan Kelantan apabila Ahmad Fakri Saarani menyepak tinggi bola melepasi palang walaupun Norazlan sudah tertewas.

Hasrat Kelantan untuk mencipta kemenangan di gelanggang sendiri dengan disaksikan kira-kira 5,000 penyokong setia mereka tidak berhasil, sebaliknya Selangor yang membawa pulang tiga mata penuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 4:49 AM