PEMAIN England giat berlatih di Twickenham.
PEMAIN England giat berlatih di Twickenham.
AFP

London: Tuan rumah, England mampu menundukkan Australia pada perlawanan hidup mati ragbi Piala Dunia jika berjaya mengekalkan rentak permainan seperti dirancang kerana Wallabies bukanlah kebal, kata bekas jurulatih yang membawa kejuaraan 2003, Clive Woodward.

Woodward yang tidak pernah mengaku kalah setiap kali berjuang menentang Wallabies sepanjang kariernya selaku jurulatih, percaya England akan menang dengan kelebihan tiga mata - sama seperti yang mereka lakukan pada final di Sydney, 12 tahun lalu.

Bekas rakan sejawatnya di Australia ketika kedua-duanya bertemu di final berkenaan, Eddie Jones yang kini mengendali skuad Jepun, percaya pertembungan Kumpulan A itu pasti sengit tetapi berkata Wallabies akan menang dengan kelebihan satu atau dua mata saja.

Individu ketiga yang menambah rencah perlawanan itu, Martin Castrogiovanni dari Itali bersetuju dengan Woodward dan berkata, England akan keluar sebagai pemenang tetapi tidak akan memperoleh perbezaan mata besar. Bagaimanapun, beliau menambah, England perlu berada dalam keadaan sempurna untuk mengharungi perlawanan berkenaan.

England tewas 25-28 ketika menentang Wales minggu lalu walaupun memiliki kelebihan 10 mata pada satu peringkat tetapi gagal menghalang kebangkitan lawan sekali gus mengakibatkan mereka berada dalam kedudukan bahaya untuk tersingkir di peringkat kumpulan.

“England tidak boleh membiarkan Australia menguasai perlawanan,” kata Woodward.

“Jika anda boleh terus memegang bola selain membuat larian melepasi pemain mereka dan bergerak ke depan, Australia pasti mati akal.

“England perlu melakukan pergerakan luar jangkaan Australia, melarikan bola dengan pantas dan membuatkan lawan tergamam.

“Berdasarkan rekod, mereka bukanlah pasukan terlalu kebal. Mereka turut melakukan kesilapan dengan memberikan penalti serta menerima kad kuning setiap kali tertekan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:12 AM