PAPARAN dalam garaj F1 dalam portal Scuderia Ferrari Uncovered.
Oleh Erywan Norshal


Biarpun mempunyai wang yang banyak, belum tentu anda berpeluang melihat secara lebih dekat dalam garaj dan paddock Formula Satu (F1) Scuderia Ferrari.

Ini berikutan ia menjadi kawasan larangan kecuali petugas pasukan Scuderia Ferrari dan jika berpeluang sekali pun anda tidak boleh merakam gambar sesuka hati.

Bagaimanapun dengan adanya kemudahan Internet ketika ini, Shell memperkenalkan ‘Scuderia Ferrari Uncovered’ menerusi laman sesawang www.shell.com/SFU untuk melihat secara lebih dekat garaj F1 pasukan Scuderia Ferrari.

Scuderia Ferrari Uncovered yang dibangunkan oleh Shell sebagai sebahagian daripada perkongsian teknikal dengan Ferrari membolehkan peminat mengetahui lebih mendalam dunia sukan permotoran itu.

Sisipan Vroom terpilih menjadi satu daripada lapan media di negara ini yang menerima kotak khas daripada Shell United Kingdom untuk menguji portal interaktif Scuderia Ferrari Uncovered, boleh dikatakan cukup mengagumkan untuk melihat persekitaran garaj dengan sudut penglihatan secara 360 darjah menerusi iPad Mini disediakan.

Biarpun sebelum ini pernah memasuki garaj F1 Scuderia Ferrari di Singapura dan Litar Antarabangsa Sepang beberapa tahun lalu, penulis hanya boleh melihat serta tidak boleh merakam gambar untuk membuat laporan.

Adanya portal seperti itu, ia sekurang-kurangnya memberi gambaran lebih jelas dengan mempaparkan maklumat terperinci yang disediakan selain mesra penggunaan.

Ia memaparkan video serta data untuk memberikan gambaran jelas yang dilakukan pasukan ketika beraksi dalam sukan permotoran. Maklumat terperinci turut disediakan membabitkan teknikal perkongsian antara Shell dan Ferrari yang akan membangkitkan selera peminat F1.

Pengguna juga boleh meneroka ciri aerodinamik kereta F1, latar belakang pemandu, keadaan kokpit, makmal Shell, apa yang berlaku sebelum perlumbaan dan penggunaan bahan api Shell V-Power serta minyak pelincir Shell Helix Ultra.

Kedua-dua bahan api dan minyak pelincir itu adalah produk penting Scuderia Ferrari untuk memaksimumkan prestasi daripada kuasanya.

Pengguna juga boleh melihat petugas melaksanakan tugasan ketika pelumba memasuki ruang pit bagi menukar tayar yang hanya mengambil masa tiga saat.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Digital Global Shell, Fiona Low berkata, portal itu adalah langkah baru dan berani untuk pemasaran bagi perkongsian teknikal dengan Scuderia Ferrari.

“Kerjasama ini adalah yang paling berjaya dalam sejarah sukan permotoran dengan memaparkan konsep inovasi terkini membabitkan dalam dan di luar litar perlumbaan.

“Scuderia Ferrari Uncovered adalah cara terbaik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sukan F1 secara eksklusif,” katanya.

Menurutnya, imej dalam portal itu diambil di garaj F1 di Grand Prix Bahrain pada April lalu dengan sudut 360 darjah menggunakan perisian Pano2VR.

Katanya, portal itu boleh diakses dengan menggunakan semua peranti tanpa perlu memuat turun atau memasuki kata laluan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:02 AM