KEHADIRAN Zizan bakal menggeletek hati penonton dengan aksi spontannya.
KEHADIRAN Zizan bakal menggeletek hati penonton dengan aksi spontannya.
Oleh Amirul Haswendy Ashari


Kalau sebut nama Othman Hafsham atau Hafsham, 76, terbayang hasil kerjanya melalui filem hebat Mekanik, Rahsia, Adik Manja, Soal Hati dan sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu, suatu ketika dulu.

Tapi kini dalam usia lewat 70-an, keinginan mengarah tentunya masih ada tetapi kemampuan kudrat mungkin tiada. Bagaimanapun, bakat seni dalam dirinya kini mengalir pada anaknya, Shamyl Othman, 35, dan Sharmaine, 32.

Filem Kami Histeria adalah karya pertama arahan Shamyl dan kini mempertaruhkan filem kedua, Rembat: Just Duit yang bakal ditayangkan di pawagam pada 8 Oktober ini.

Biarpun bekerja dalam bidang sama, Hafsham pernah beberapa kali meluahkan rasa sedih kerana kedua-dua anaknya tidak mahu bekerja dan mengurus syarikat produksi miliknya, Cinematic Sdn Bhd.

Agak berbeza dengan anak-anak Datuk Yusof Haslam, Syamsul dan Syafik yang meneruskan perjuangan ayah mereka menerusi Skop Production Sdn Bhd.

Shamyl yang ditemui ketika sidang media Rembat: Just Duit baru-baru ini mengakui tidak akan bekerja atau memegang tanggung­jawab mengurus tadbir syarikat produksi bapanya itu.

Katanya, dia pernah bekerja dengan Hafsham sekitar 2008 tapi sebagai pengarah dan pelakon apabila bapanya berlakon dalam drama sitkom arahannya, Sidiq & Co.

“Sebagai pembikin filem, sebenarnya agak susah untuk saya bekerja dengannya. Mungkin sebab saya terlalu hormat dengan bapa, jadi susah nak capai satu tahap keselesaan hubungan yang profesional.

“Saya pernah berbincang hal itu malah bapa sudah banyak kali menyuarakan hasratnya supaya saya mengambil alih syarikat.

“Tapi saya beri alasan belum bersedia untuk memikul beban sebagai pemilik syarikat, terutama bergelar penerbit. Pada masa ini, saya lebih selesa bekerja sebagai pengarah di syarikat penerbitan lain,” katanya.

Kami Histeria yang ditayangkan di pawagam Februari tahun lalu, diterbitkan oleh Astro Shaw, Red Films dan Marna Films manakala Rembat: Just Duit juga kerjasama tiga penerbit, Grand Brilliance, Red Films dan Marna Films.

Shamyl akui bukan satu tanggungjawab mudah menjadi penerbit kerana sering melihat mereka pening kepala setiap kali memikirkan cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah berkaitan produksi.

“Perkara ini membuatkan saya jadi takut. Jadi, lebih baik saya duduk saja di kerusi pengarah. Saya dan adik (Shamaine) ada juga terfikir untuk bekerja bersama tapi untuk bekerja dengan bapa, rasanya tidak,” katanya.

Shamyl juga menolak dakwaan sesetengah pihak mengatakan dia mempunyai masalah dengan bapanya. Malah secara berseloroh, dia tidak kisah jika bapanya terpaksa menutup Cinematic seandainya tiada anak-anak yang mahu menguruskannya lagi.

Biarpun enggan bekerja dengan bapanya, Shamyl yang pernah mengikuti pengajian di Victorian College of the Arts, Australia tetap menyanjungi bapanya sebagai insan utama yang mencetuskan minatnya dalam dunia pengarahan.

Katanya, filem Rembat: Just Duit diinspirasi daripada filem popular arahan bapanya, Mekanik yang pernah menobatkan Hafsham sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-4 (FFM4) pada 1983.

“Saya tidak pernah pun terfikir akan kata-kata orang mengatakan saya berada di bawah bayangan bapa sebaliknya saya bangga dengan setiap pencapaiannya.

“Malah pada FFM27 lalu, saya rasa nak menangis melihat bapa menerima peng­iktirafan untuk Karyawan Sepanjang Zaman sebab tahu apa yang dia terpaksa lalui selama ini,” katanya.

Kata Shamyl, Rembat: Just Duit menampilkan Shaheizy Sam dan Aniu (Tan Kheng Seong) sebagai pelakon utama, mengalami proses berbeza berbanding filem pertamanya.

“Selain skrip yang sering diolah beberapa kali sejak empat tahun lalu, jalan cerita juga terpaksa diubah sedikit supaya ia mempunyai motif yang lebih kukuh untuk diadun sebagai filem yang menghiburkan semua kaum.

“Banyak idea melalui proses improvisasi secara perbincangan sesama pelakon dan kru, terutama yang babitkan babak menunjukkan kepelbagaian budaya.

“Kami sering berbincang terutama untuk pecahkan tabu masyarakat kita. Seperti babak Mail (Sam) mengajak Chin Chye (Aniu) ke masjid.

“Sesetengah masyarakat Cina takut untuk masuk ke masjid kerana beranggapan mereka tidak boleh masuk kawasan Islam, begitu juga sebaliknya.

“Begitu juga apabila babak Mail terambil buah sebab lapar atas meja sembah acara kematian masyarakat Cina, Aniu banyak bantu memberikan idea bernas bagi menjawab persoalan masyarakat kita secara bersahaja,” katanya.

Shamyl juga berharap Rembat: Just Duit mendapat perhatian penonton apabila ditayangkan nanti. Tambah pula melihat kebangkitan filem tempatan seperti Polis Evo, Jwanita dan Girlfriend Kontrak baru-baru ini.

Lebih menyakinkan Shamyl apabila pelakon utama Polis Evo, Sam dan Zizan Razak turut beraksi dalam Rembat: Just Duit.

“Tekanan sentiasa ada, apatah lagi filem Polis Evo menunjukkan kejayaan sendiri. Saya cuba untuk fikir positif dan berharap dengan adanya dua pelakon filem itu, tempiasnya turut terkena pada Rembat,” katanya.

Filem komedi aksi ini mengisahkan dua sahabat baik, Malik (Sam) dan Chin Chye (Aniu) melarikan diri ke selatan tanah air selepas terperangkap dengan pertaruhan perlawanan akhir bola sepak Malaysia menentang Thailand yang diatur sekumpulan ah long.

Pengembaraan mereka melepaskan diri daripada ah long mencetuskan pelbagai peristiwa lucu dan aksi apabila bertemu pelbagai karakter manusia lain dilakonkan Zulin Aziz, Sherry Al-Hadad, Arja Lee dan Zara Zya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:03 AM