PEMAIN Kelantan, Wan Zaharulnizam (tengah) dikawal pertahanan Selangor.
Oleh Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Peluang Kelantan untuk menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia tetap ada walaupun laluan yang bakal diharungi selepas ini cukup berliku.

Pengendali Kelantan Zahasmi Ismail mengaku kegagalan meraih tiga mata selepas kalah tipis 0-1 kepada Selangor di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu malam kelmarin, menyukarkan Kelantan untuk ke kelompok lapan pasukan terakhir.

Beliau bagaimanapun tetap yakin pasukannya mampu bangkit dan mempamer aksi terbaik untuk meraih tiga mata dalam perlawanan menentang FELDA United FC dan T Team selepas ini nanti.

“Berbaki dua perlawanan, saya optimis Kelantan akan bangkit sekalipun menyedari lawan yang bakal dihadapi agak kuat. Namun, apa pun boleh berlaku dalam bola sepak.

“Saya akan memastikan Kelantan dapat melangkah ke peringkat suku akhir kerana itu sasaran saya selepas diberi peluang untuk membimbing The Red Warriors (TRW). Saya mahu memulihkan kembali maruah pasukan,” katanya.

Walaupun kalah, Zahasmi masih memuji anak buahnya kerana memberi komitmen tinggi namun tidak bernasib baik.

Bagi pemangku ketua jurulatih berusia 47 tahun itu, beliau menyifatkan Selangor hanya bernasib baik kerana kesilapan yang tidak disengajakan pemain pertahanannya membolehkan lawan memperoleh gol tunggal.

“Pemain berusaha mencari gol penyamaan terutama pada babak kedua tetapi gagal mencari penyudah.

“Ketiadaan dua penyerang, Austin Amutu dan Mohd Norfarhan Muhammad akibat kecederaan turut memberi kesan terhadap pasukan namun, kesebelasan pemain sudah berusaha sedaya upaya mereka,” katanya.

Zahasmi berkata, beliau berpuashati dengan permainan dipamerkan apabila semua pemain tetap berusaha mencari gol namun, benteng pertahanan Selangor sukar untuk ditembusi.

Katanya, pemain seperti Mohd Badri Radzi, Wan Zack Haikal, Gilmar De Santos Filho, Amiridzwan Taj Tajuddin dan Wan Zaharulnizam berjaya memberi tekanan terhadap jentera lawan termasuk nyaris menjaringkan gol melalui tiga sepakan percuma.

Gol kemenangan Selangor dihasilkan menerusi situasi kelam kabut di depan pintu gol tuan rumah sekali gus menyaksikan bola sepakan Mohd Nazmi Faiz Mansor terkena pemain pertahanan Kelantan Mohd Noor Hazrul Mustapha sebelum melantun ke gawang sendiri pada minit ke-19.

Sementara itu, rakan sejawat Zahasmi, Mehmet Durakovic pula berkata, walaupun menang tipis, Selangor berjaya menamatkan badi kekalahan mereka selama 13 tahun di Kota Bharu.

“Itu adalah kemenangan agak 'luar biasa' kerana hasil kesungguhan semua pemain, mereka berjaya mencapai segala yang dirancang, sekali gus menghidupkan semula misi 33.

“Saya berharap pemain dapat mengekalkan momentum kemenangan itu kerana peluang kita untuk layak ke suku akhir semakin cerah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:07 AM