MITROVIC (dua kanan) dilayangkan kad merah kerana terjahan ke atas Coquelin.

Sewaktu Aleksandar Mitrovic menandatangani kontrak dengan Newcastle, dia mengugut untuk menendang mana-mana pertahanan Liga Perdana Inggeris yang berani menghalang pergerakannya.

Namun, selepas penggantungan dan reputasi buruk yang dipamerkan, Mitrovic menyimpan azam untuk mengubah sikap keras kepalanya itu.

Pemain Serbia terbabit dibuang padang hanya selepas 15 minit membuat penampilan pertama di laman sendiri apabila dia menghentak kasutnya ke tulang kering pemain Arsenal Francis Coquelin.

Newcastle tewas semua tiga perlawanan tanpa Mitrovic namun kembali menerjah jentera pertahanan Chelsea bagi memastikan mereka seri 2-2.

Pemain yang baru saja menyambut hari lahir ke-21, 16 September lalu itu berkata: “Beberapa minggu ini sungguh mencabar tetapi saya banyak belajar, saya tidak akan lakukan perkara sama lagi.

“Mungkin ia berbeza berbanding negara lain tetapi ini adalah peraturan yang saya sedar tidak sepatutnya dilanggar.

“Saya pasti, saya bukanlah yang pertama dan terakhir dilayangkan kad merah tetapi peraturan tetap peraturan. Saya perlu menghormatinya.

“Saya boleh mengawal diri. Saya dilayangkan kad merah tetapi saya hanya mahu mendapatkan bola, bukannya berniat untuk menendang sesiapa.

“Saya tidak mahu kad merah lagi, saya pasti mampu mengawal diri bagi memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi.

“Saya sedar, saya boleh bermain dengan bijak sepanjang perlawanan seperti ketika menentang Chelsea. Mungkin saya tidak menjaringkan gol tetapi saya masih berusaha sebaik mungkin.”

Sewaktu perlawanan menentang Chelsea, Mitrovic mudah mengatasi pemain senior seperti Gary Cahill, Kurt Zouma dan Branislav Ivanovic yang cuba mengasak bekas penyerang Anderlecht itu.

Pemain bernilai £12.5 juta (RM83.5 juta) itu menambah: “Memang sukar apabila anda sentiasa ditendang pertahanan tetapi anda perlu kekal tenang dan berfikir bagaimana untuk menjaringkan gol.

“Mereka menyepak anda sepanjang perlawanan tetapi itulah posisi saya dan saya perlu hadapinya.

“Saya perlu kuatkan mental tetapi saya sudah buktikan mampu menanganinya.”

Namun, Mitrovic tidak menafikan harganya yang tinggi itu memberi tekanan kepadanya, khususnya sejak kembali dari penggantungan tiga perlawanan.

“Saya mahu membuktikan yang saya mampu mengawal emosi dan sikap agresif serta tenang dalam situasi tertentu,” katanya.

“Saya harap dapat membuktikan kepada semua orang pada minggu mendatang saya seorang yang tenang.

“Orang yang rapat tahu siapa saya. Saya seorang yang baik dan sukakan hidup berkeluarga. Mungkin di padang kelihatan agak agresif tetapi itu hanya kerana saya mahu mendapatkan bola dan memenangi perlawanan.

“Masalahnya saya mahukan segala-galanya. Ia masalah emosi. Harga saya, 18 juta Euro agak memberi tekanan.”

Sehingga artikel ini ditulis, Mitrovic masih belum menjaringkan sebarang gol namun yakin mampu mencetuskan kebangkitan.

“Hasilnya akan datang nanti. Dengan aksi seperti menentang Chelsea, saya yakin,” katanya.

“Kami bermain bola sepak dengan baik dan agresif. Itulah cara kami bermain dalam setiap perlawanan.

“Kami perlu yakin, jika kami lakukannya, hasilnya akan tiba.

“Tidak kiralah dengan siapa kami bermain, kami perlu bersikap agresif dan bermain dengan penuh semangat.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:08 AM