Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Seorang wanita dan dua rakan lelaki dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini kerana didapati bersalah membunuh seorang lelaki yang juga ahli perniagaan empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap penganggur, Nor Liana Nor Wahi, 36; jurugambar, Mohd Azeryee Anuar, 32 dan pengawal keselamatan, Kamarudin SK Abdul Halim, 33 selepas pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Mengikut kertas pertuduhan , ketiga-tiga tertuduh melakukan kesalahan itu pada 19 September 2011 antara jam 7 hingga 7.45 malam di bilik 310, Hotel Park Avenue, Taman Sejati Indah, Sungai Petani dalam mencapai hasrat bersama membunuh Mohd Nasir Isahak, 39 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama.

Ketiga-tiga tertuduh dijatuhkan hukuman seperti yang diperuntukkan di bawah Sekysen 302 Kanun Keseksaan iaitu hukuman mati pada tarikh dan tempat yang akan ditentukan kemudian.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Naizatul Zima Tajudin , manakala Nor Liana diwakili oleh peguam Rafael Abdullah dan dua tertuduh lagi diwakili, Datuk Naran Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 1:52 PM