SEBAHAGIAN orang awam masih melakukan aktiviti luar berikutan jerebu di sekitar Shah Alam. FOTO Shazreen Zamzuri
Oleh Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) meminta ibu bapa terutama di negeri itu mengambil tindakan perlu bagi memastikan anak-anak mereka yang tidak bersekolah pada esok dan Selasa daripada terdedah dengan jerebu yang kini berada pada tahap sangat tidak sihat.

Pengarahnya Zainuren Mohd Nor berkata, ibu bapa perlu memantau anak-anak mereka supaya tidak terdedah dengan jerebu bagi mengelak mengalami masalah kesihatan.

"Saya meminta ibu bapa dapat memastikan anak-anak mereka berada dalam rumah dan bagi mereka yang akan menghadapi peperiksaan lakukan ulang kaji di rumah.

"Ini bagi mengelakkan kesihatan mereka terjejas berikutan jerebu terutama di Shah Alam dan beberapa kawasan lain berada pada paras sangat tidak sihat," katanya ketika dihubungi di sini, tadi.

Beliau berkata, susulan penutupan sekolah pihaknya sudah memaklumkan kepada semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Pengetua dan Guru Besar untuk memaklumkan kepada guru serta ibu bapa murid mengenainya.

Katanya, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri itu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi Shah Alam merekodkan bacaan IPU 282 manakala Pelabuhan Klang (237), Banting (233) dan Petaling Jaya (231).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 2:14 PM